Berita

Pintu gerbang Kampung Bukit Kalam jadi mercu tanda baharu

ROZMAN (tengah) bergambar kenangan bersama AJK MPKK Bukit Kalam selepas Majlis Perasmian Pintu Gerbang kampung tersebut baru-baru ini.
- Diterbit 7 Februari 2020 3:40 AM MYT

LABUAN – Mercu tanda pintu gerbang Kampung Bukit Kalam yang dibina dengan kos sebanyak RM10,000 dilihat membantu mempromosikan Labuan kepada pelancong.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Kalam, Mat Said Haris berkata, permohonan untuk membina mercu tanda Bukit Kalam telah diluluskan pada Jun lalu dan pembinaan bermula pada September serta siap sepenuhnya pada Disember lepas.

“Mercu tanda baharu ini menjadi kebanggaan penduduk Bukit Kalam dan ia merupakan salah satu projek untuk pengindahan kampung ini.

“Untuk sepanjang tahun 2019, Kampung Bukit Kalam berjaya melaksanakan 12 projek kemudahan asas, pembangunan serta pengurusan kampung menjadikan Bukit Kalam lebih menarik untuk dikunjungi,” katanya.

Pembinaan mercu tanda pintu gerbang Kampung Bukit Kalam itu menggunakan peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Labuan.

Perasmian pintu gerbang itu disempurnakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dalam satu majlis baru-baru ini.

Hadir sama Pegawai Kemas Labuan, Gilbert Julian dan Timbalan Pengerusi MPP Labuan, Salim Abdul Rahman.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas