Selebriti

“Pihak sana untung berjuta-juta, saya dapat apa?” – Hafiz Hamidun

- Diterbit 8 November 2021 9:00 AM MYT

PENYANYI dan komposer popular, Hafiz Hamidun menyarankan kepada selebriti dan orang yang mempunyai nama baik (good will) agar mendaftarkan nama mereka sebagai tanda dagang (trademark) bagi mengelakkan isu penyalahgunaan nama.

Menurut Hafiz, isu yang timbul empat tahun lalu mengajarnya untuk lebih berhati-hati agar nama tidak lagi diekspolitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, dalam masa yang sama mengaut keuntungan.

“Apa yang berlaku dulu benar-benar membuatkan saya mula berasakan betapa pentingnya pendaftaran tanda dagang kepada mana-mana artis.

“Ini bukan disebabkan keuntungan, tetapi bimbang nama terus digunakan untuk tujuan tak baik.

‘”Iyalah, pihak sana untung berjuta-juta, saya dapat apa? Jadi kenalah ambil tindakan agar tak berlaku pada artis lain,” katanya pada majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan – Care4Afghan di Hotel Tamu, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut penyanyi yang baru sahaja muncul dengan album Terapi Diri Acapella itu, tindakan yang diambil bukan sahaja untuk mempertahankan dirinya, tetapi sebagai pengajaran kepada syarikat-syarikat di luar sana.

“Saya tahu ada artis lain menerima nasib yang sama, tapi terpulanglah kepada mereka untuk mengambil tindakan atau tidak. Tapi untuk saya, tindakan perlu diambil.

“Dalam masa yang sama, ia juga sebagai peringatan kepada syarikat-syarikat di luar sana untuk tidak sewenang-wenangnya guna nama selebriti.

“Saya pun jenis senang bekerjasama dengan sesiapa pun. Benda boleh bincang. Kalau kena caranya, saya on saja,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Februari 2017, Hafiz Hamidun memfailkan saman terhadap syarikat tekstil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyalahgunakan namanya tanpa kebenaran.

Penyanyi lagu Jodoh Berdua itu juga meluahkan rasa lega akhirnya usaha untuk menegakkan haknya sebagai seorang selebriti dan usahawan tidak sia-sia apabila dia menang kes saman itu pada Mei 2018.

Bagaimanapun proses mahkamah masih berlanjutan apabila pihak syarikat tersebut mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan pada tahun 2020.

Mahkamah tinggi menolak rayuan tersebut dan kemenangan masih berpihak kepada Hafiz.

Mahkamah menetapkan 7 Disember depan bagi memutuskan nilai tuntutan kepada pihak berkenaan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas