Berita

Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan tetap guna vaksin AstraZeneca

- Diterbit 17 Mac 2021 2:52 AM MYT

PIHAK berkuasa kesihatan Korea Selatan pada Rabu berkata pemberian vaksin AstraZeneca COVID-19 akan diteruskan walaupun kebanyakan negara Eropah menghentikan vaksinasi untuk menyiasat kesan sampingan yang dilaporkan.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) dalam satu kenyataan berkata tidak ada bukti wujudnya hubungan antara vaksin syarikat farmasi Britain-Sweden, AstraZeneca dan Universiti Oxford dengan laporan darah beku oleh beberapa penerima, lapor Agensi Berita Yonhap.

Sekitar 20 negara Eropah, termasuk Jerman, Perancis, dan Itali, menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca sementara menunggu hasil penyelidikan terhadap masalah darah beku pada penerimanya.

Pengawal selia antarabangsa, bagaimanapun, berkata tiada bukti menunjukkan vaksin tersebut berkait dengan darah beku. Badan pemantau ubat-ubatan Eropah, Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA), dijadualkan mengadakan pertemuan pada Khamis (waktu tempatan) untuk mengkaji masalah tersebut.

Terdahahulu, Korea Selatan memutuskan untuk memperluas penggunaan vaksin AstraZeneca COVID-19 kepada golongan berusia 65 tahun ke atas untuk meningkatkan kempen vaksinasi di seluruh negara kerana kajian baharu luar negara menunjukkan keberkesanannya.

Seramai 570,000  rakyat di negara ini telah divaksinasi.

Menurut KDCA, Korea Selatan melaporkan 469 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan 96,849 kes. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas