Berita

Piala Malaysia 2020 hilang seri tanpa Sabah – Hassan Sani

- Diterbit 30 Oktober 2020 9:36 AM MYT

SAINGAN Piala Malaysia 2020 dijadual bermula 6 Nov ini, bakal ‘hilang seri’ tanpa penyertaan pasukan Sabah, kata legenda bola sepak tanah air Datuk Hassan Sani.

Selain menjadi wakil dari Borneo, bekas penggempur utama skuad Sukan Olimpik Moscow 1980 berusia 62 tahun itu berkata, penyertaan Sabah dalam kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu sentiasa memberikan nilai tambah kepada tahap intensiti penganjurannya.

Malah, beliau berkata prestasi memberangsangkan Sabah yang ditampilkan dalam dua musim terakhir termasuk kejayaan mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia 2018, serta menjuarai Liga Premier 2019 mampu merancakkan lagi saingan musim ini.

Bagaimanapun, menyedari mengenai situasi semasa COVID-19 yang masih ‘mengganas’ di Sabah, bekas penyerang Sabah itu menegaskan aspek kesihatan perlu sentiasa diletakkan sebagai keutamaan, berbanding semangat di atas padang.

“Sedih apabila Sabah tidak dapat ambil bahagian dalam Piala Malaysia kali ini, tetapi melihat kepada situasi terkini COVID-19, bagi saya soal keselamatan dan kesihatan menjadi nombor satu…main bola sepak bila-bila pun boleh. Kes (COVID-19) di Sabah juga masih tinggi saban hari,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Satu kerugian sebenarnya buat Sabah sebagai pasukan yang baru nak buat kebangkitan semula dan telah berikan aksi terbaik. Boleh katakan Piala Malaysia hilang seri tanpa Sabah, yang bawa cabaran dari Borneo, tetapi itu tidak penting dalam keadaan sekarang kerana kesihatan yang utama,” katanya.

Semalam, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan Sabah tidak akan menyertai saingan Piala Malaysia 2020, selepas tidak mendapat pelepasan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Nov.

Ia sekali gus menyaksikan Sabah menjadi pasukan Liga Malaysia (Liga-M) pertama tidak dibenarkan menyertai pertandingan tersebut sejak penularan pandemik COVID-19 mula negara, termasuk memberi kesan kepada arena bola sepak tempatan sejak Mac lepas.

Sabah merekodkan lebih 4,000 kes baharu positif COVID-19 dalam tempoh tujuh hari terakhir.

Dalam pada itu, Hassan meminta barisan pemain yang telah bertungkus lumus bagi memastikan Sabah meraih slot dalam saingan Piala Malaysia musim ini, tidak berputus asa dan mengekalkan semangat untuk dibawa ke musim hadapan.

“Sebagai bekas pemain saya faham perasaan tidak dapat bertanding selepas berusaha bersungguh-sungguh. Peminat juga pastinya kecewa pasukan kesayangan tidak dapat beraksi, saya berharap pemain terutamanya tidak putus asa dan bersabar,” jelas beliau.

Hassan antara watak penting kejayaan skuad kebangsaan mengesahkan slot ke Sukan Olimpik 1980, namun impian beraksi pada temasya sukan itu tidak menjadi kenyataan, selepas kerajaan Malaysia ketika itu memboikot temasya berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas