Berita

Piala Agong: Terengganu, Putrajaya buat perhitungan di final

- Diterbit 30 November 2022 3:31 PM MYT

PERLAWANAN akhir kejohanan ragbi Piala Agong 2022 diramal berlangsung sengit apabila menemukan juara bertahan, Terengganu dan pasukan pilihan, Putrajaya pada pertembungan di Stadium Pangkalan Udara Subang di Petaling Jaya, Sabtu ini.

Terengganu menghidupkan peluang mempertahankan kejuaraan sulung dimenangi pada 2019 yang juga edisi terakhir sebelum pandemik COVID-19 melanda, selepas mencatat kemenangan tipis 24-22 ke atas juara 11 kali, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi separuh akhir, petang ini.

Namun, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Pangkalan Udara Subang itu, ATM berjaya memberikan tentangan sengit apabila mendahului 12-10 pada separuh masa pertama sebelum Terengganu bangkit dengan mengutip 14 mata untuk menoktahkan kemenangan.

Sementara itu, Putrajaya yang dibarisi ramai pemain kebangsaan, mengecewakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyasarkan untuk menamatkan penantian tiga dekad bergelar juara apabila merakam kejayaan 29-24 pada satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di venue sama.

PDRM pernah merangkul tiga kejuaraan Piala Agong, iaitu pada edisi sulung 1983 sebelum mengulangi pencapaian sama pada 1985 dan 1991 sementara Putrajaya kini memburu kejuaraan pertama mereka.

Perlawanan merebut tempat ketiga dan keempat antara ATM dan PDRM akan berlangsung di venue sama sebelum pertembungan final kejohanan edisi ke-38 melibatkan Terengganu dan Putrajaya itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas