Berita

PGA rampas ikan, kura-kura & albino

- Diterbit 30 Mac 2021 4:13 AM MYT

BATALION Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas ikan emas hitam, ikan laga dan kura-kura albino bernilai sekitar RM73,200 yang disembunyikan dalam sebuah kereta di Rantau Panjang, Pasir Mas, dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Supt Nor Azizan Yusof rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota Strike Force PGA9 yang sedang melaksanakan penugasan Ops Benteng, apabila mereka mengesan sebuah kereta jenis Nissan Latio dalam keadaan mencurigakan berdekatan pangkalan haram Hassan Merah, pada pukul 3.00 pagi.

Beliau berkata anggota pasukan kemudiannya menemukan 350 ekor ikan hiasan jenis Emas Hitam bernilai RM28,000, 545 ekor ikan laga bernilai RM43,600 serta 20 ekor kura-kura albino bernilai RM1,600 diletakkan di dalam bungkusan plastik yang disyaki diseludup masuk dari Thailand.

Menurutnya pasukan operasi cuba mengesan pemilik kenderaan di sekitar pangkalan haram berkenaan, namun gagal, dan pemiliknya disyaki sudah melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA9.

“Ikan hiasan dan kura-kura albino itu dipercayai untuk pasaran tempatan di Kelantan kerana haiwan hiasan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri. Anggaran keseluruhan rampasan termasuk sebuah kenderaan jenis Nissan Latio adalah RM90,200,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

“Rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011,” katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas