Berita

PGA Beluran tahan 21 orang cuba rentas daerah melalui lorong tikus

- Diterbit 13 Februari 2021 6:35 AM MYT

PASUKAN keselamatan menahan 21 individu yang didapati cuba merentas daerah menggunakan “laluan tikus” dekat sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda berkata mereka ditahan sepasukan anggota daripada Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika membuat rondaan di laluan tikus terbabit kira-kira 5.30 pagi.

“Mereka berumur tiga hingga 41 tahun dan mendakwa berpindah dari sebuah ladang sawit di Telupid ke sebuah lagi ladang di Kinabatangan. Kedua-dua ladang milik sebuah syarikat yang sama.

“Seramai 16 orang daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai warga Indonesia, manakala empat merupakan rakyat tempatan dan seorang warga Indonesia mempunyai dokumen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasim berkata pihak berkuasa turut merampas tiga kenderaan pacuan empat roda.

Katanya kes disiasat menurut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 55E akta sama terhadap pemilik ladang kerana membenarkan warga asing berada di dalam premis. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas