Berita

Petugas TV3 terima sumbangan juadah i-Hya Ramadhan YWP

ZAIZALNIZAM (kanan) menyampaikan juadah berbuka puasa i-Hya Ramadhan kepada Mohd Said di Sri Pentas, Petaling Jaya hari ini.
- Diterbit 27 April 2020 3:19 PM MYT

PETALING JAYA – Pengamal media di stesen televisyen, TV3 berbesar hati menerima sumbangan juadah berbuka puasa melalui program i-Hya Ramadhan anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini.

Penerbit Eksekutif TV3, Mohd. Said Abdullah Thani berkata, sebagai petugas barisan hadapan, tugasan mereka di lapangan menuntut pengorbanan yang besar selain terpaksa bekerja tidak mengira masa malah mereka turut berhadapan dengan risiko wabak Covid-19.

“Situasi kini agak luar daripada kebiasaan kerana negara berdepan dengan ancaman Covid-19.

“Kerajaan juga telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dan menyebabkan banyak perkhidmatan terpaksa digantung dan premis makanan juga dihadkan operasi.

“Sebagai petugas barisan hadapan, ia menuntut kami untuk bekerja dalam keadaan sukar dan memandangkan jadual kerja yang tidak menentu ketika Ramadhan ini, agak sukar untuk mendapatkan juadah berbuka kerana Bazar Ramadan turut dibatalkan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui Wilayahku di pekarangan Sri Pentas di sini hari ini.

Terdahulu Mohd. Said menerima sumbangan juadah berbuka puasa i-Hya Ramadhan yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zalzainizam Zainun.

Mohd Said berkata, pihaknya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada YWP  di atas keprihatinan terhadap petugas media.

Dalam pada itu, Mohd Said berkata, sumbangan juadah berbuka puasa secara online, i-Hya Ramadan anjuran YWP merupakan satu kaedah yang memberi manfaat kepada orang ramai.

“Ia amat bertepatan dengan situasi negara berada dalam PKP.

“Oleh kerana kita tidak boleh mempunyai kontak dan tidak boleh berada di dalam majlis keraian secara beramai-ramai, maka inisiatif ini amat bertepatan dengan keadaan sekarang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas