Berita

Petugas pengangkutan awam teruja terima sumbangan JAKIM

TPS bekerjasama dengan JAKIM menghulurkan sumbangan juadah berbuka kepada barisan hadapan pengangkutan awam di Terminal Putrajaya Sentral Khamis.
- Diterbit 7 Mei 2021 6:06 AM MYT

PETUGAS barisan hadapan pengangkutan awam teruja menerima sumbangan juadah berbuka puasa daripada Terminal Putrajaya Sentral (TPS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Khamis.

Menurut penerima sumbangan juadah berbuka puasa, Mohd Nawawi Mohd Saleh,50, inisiatif yang dilakukan hasil kerjasama dua pihak ini wajar diberi penghargaan di atas sumbangan yang diberikan kepada petugas pengangkutan awam di sini.

“Saya mewakili pemandu pengangkutan awam (teksi) mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak JAKIM di atas kerjasama yang diberikan bersama pihak TPS untuk memberi sumbangan juadah berbuka puasa kepada pemandu teksi di sini.

“Sepanjang bulan ramadhan, ramai pihak termasuk orang awam tampil menghulurkan makanan dan minuman bukan sahaja juadah berbuka puasa malah juadah sahur,” katanya ketika ditemui selepas pemberian sumbangan juadah berbuka oleh pihak JAKIM dan TPS.

Ujarnya, sebelum ini pihak JAKIM juga pernah memberi sumbangan berbentuk hamper, barang makanan dan kewangan tetapi pada kali ini mereka menerima juadah berbuka puasa.

“Saya berharap bantuan dan sumbangan yang diberikan dapat mengurangkan beban untuk kami yang terjejas pendapatan semenjak pandemik COVID-19,” katanya.

Keterujaan itu turut dirasai pengawal keselematan TPS, Nurul Maizatul Nazua Mohd Zairi,22, yang tidak menyangka akan menerima sumbangan tersebut.

“Kami tidak tahu akan diberi sumbangan, secara tiba-tiba pihak JAKIM dan TPS menghulurkan makanan.

“Untuk ramadhan kali ini, lebih kurang 10 sumbangan telah diterima. kadang-kadang saya dapat nasi, roti, air, buah dan kurma,” jelasnya.

Dia juga turut mengucapkan rasa syukur di atas pemberian ini dan mendoakan agar pihak JAKIM dan TPS dipermudahkan segala urusan.

Terdahulu,150 bungkus juadah berbuka puasa diterima petugas barisan hadapan pengangkutan awam seperti pemandu bas, teksi, pemandu e-hailing dan petugas ERL serta orang awam di Terminal Putrajaya Sentral.

Sumbangan ini disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Encik Bakri Amboala kepada pihak Pengurusan Terminal Putrajaya Sentral yang diwakili oleh Encik Aminuddin Abd. Hamid selaku Pengarah Pelaburan, Anak syarikat dan Kawalan Kredit, Perbadanan Putrajaya (PPj). – WILAYAHKU- HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas