Berita

Pesona Tun Dr. Ismail sebagai negarawan

RUANG galeri kisah Tun Dr. Ismail Abdul Rahman di Memorial Negarawan Tun Dr. Ismail.
- Diterbit 22 November 2019 10:22 AM MYT

KETIKA awal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman telah dilantik sebagai Duta Besar ke Amerika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pertama dan beliau telah menyerlah sebagai seorang tokoh diplomat ketika itu.

Untuk mengenali sosok pemimpin ini, Memorial Negarawan Tun Dr. Ismail yang terletak di Jalan Dato’ Onn, berhadapan dengan Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia telah menempatkan sejarah lengkap mengenai beliau dari awal pembabitannya dalam politik sehingga kepada hari-hari terakhirnya berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia kedua.

GARIS masa yang memaparkan perjalanan politik Tun Dr. Ismail ketika menjawat beberapa jawatan penting dalam kerajaan.

Apabila memasuki memorial tersebut, sebuah potret besar pemimpin ini seolah-olah menggamit kedatangan pengunjung untuk menggali lebih lanjut mengenai sejarah kehidupannya beliau.

KOLEKSI gambar Tun Dr Ismail ketika hayatnya dahulu turut dipamerkan.

Ketika berada di dalam ruangan itu, terdapat satu ruangan memaparkan garis masa dan penceritaan mengenai sejarah beliau serta situasi semasa dan perjuangannya dalam memartabatkan sebuah negara yang merdeka.

Di satu sudut, dipaparkan susun atur ‘Pejabat Timbalan Perdana Menteri’ berserta tiga pasang pakaian beliau semasa menjawat jawatan nombor dua negara itu. Turut dipaparkan juga beberapa pingat kebesaran dan penghargaan yang diterimanya daripada luar negara dan beberapa foto-foto lama yang berkaitan dengan beliau untuk tontonan awam.

Terdapat juga sebuah bingkai gergasi yang memaparkan kira-kira 91 keping gambar Allahyarham dalam pelbagai situasi. Menariknya, gambar tersebut dirakam dari beliau muda sehingga menjawat jawatan terakhirnya.

Gambar-gambar ini juga dirakam ketika beliau berhadapan dengan pelbagai peristiwa penting yang membabitkan pembangunan negara. Terdapat juga satu teks ucapan Allahyarham pada sidang PBB bertarikh 17 Oktober 1970.

Selain itu, terdapat satu sisi penting negarawan ini berkaitan dengan hobi beliau yang gemar bermain sukan golf dan juga beberapa sukan lain seperti ragbi, berenang badminton, tinju dan bola sepak. Malah di sini turut dipaparkan koleksi kayu golf kepunyaan Allahyarham serta kaca mata, paip, kotak tembakau dan pemetik api kepunyaannya.

KOLEKSI peralatan golf yang menjadi hobi Tun Dr. Ismail.

Di dalam memorial ini turut dihiasi perjalanan terakhir negarawan ulung yang lengkap dengan keratan-keratan akhbar serta gambar-gambar sekitar majlis pengkebumiannya pada tahun 1973.

Sesungguhnya, jasa Allahyarham Tun Dr. Ismail amat besar dalam pembentukan sebuah negara yang merdeka dan ia wajar dikenang setiap masa. Justeru wajar bagi warga kota untuk berkunjung ke memorial ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang negarawan ulung ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas