Berita

PESAYA ke-14 Sarawak berakhir meriah

Datuk Zaizalnizam Zainun menerima cenderamata daripada Premier Sarawak
- Diterbit 19 Februari 2023 3:47 PM MYT

SETELAH 10 hari berlangsung, Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) ke-14 melabuhkan tirainya secara rasmi secara meriah di Borneo Convention Centre , Kuching, Sarawak, hari ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg (Abang Johari) dalam ucapan penutupnya berkata, penganjuran PESAYA adalah sombolik perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Syabas kepada Yayasan Sarawak kerana dapat menganjurkan bersama dengan rakan-rakan kita di seluruh Malaysia dalam acara ini.

“Ia (PESAYA) menunjukkan perpaduan harmoni yang begitu erat dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Biarlah saya berkongsi sedikit mengenai pendekatan Negeri Sarawak dalam usaha Yayasan Sarawak membantu masyarakat di Sarawak dan juga seluruh Malaysia,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup PESAYA ke-14 di Borneo Convention Centre.

KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun menyampaikan cenderamata kepada Premier Sarawak, YAB Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak.

ABANG Johari melihat penganjuran PESAYA-14 begitu signifikan dengan kemerdekaan Sarawak ke-60 dalam Malaysia.

Abang Johari juga melihat penganjuran PESAYA-14 ini begitu signifikan dengan kemerdekaan Sarawak ke-60 dalam Malaysia.

“Kita bukan hanya tengok Sarawak sahaja. Kalau Sarawak berjaya, Malaysia pun berjaya. Inilah semangat kita bersama.

“Biar kita ada sukan yang gah dalam memberi motivasi untuk kita ke hadapan.

“Kepada semua Yayasan, saya ucapkan tahniah kerana anda semua adalah juara Malaysia. Walaupun Sarawak jadi juara PESAYA-14, tapi saya rasa kita semua adalah juara dalam menghadapi masa depan yang lebih cerah.

“Kepada Negeri Kelantan saya ucapkan selamat maju jaya sebagai tuan rumah PESAYA ke-15 yang akan datang,” ujarnya lagi.

Dalam majlis itu turut diumumkan Negeri Kelantan sebagai tuan rumah PESAYA ke-15.

PESAYA ke-14 menutup tirainya dengan menyaksikan kontinjen Sarawak muncul juara keseluruhan dengan kutipan 12 emas, sembilan perak dan tiga gangsa manakala Sabah berada di tangga kedua, dua emas, tujuh perak dan lapan gangsa.

Kontinjen Johor berada di tangga ketiga dengan lima emas, tiga perak dan tiga gangsa manakala Pahang di tangga keempat, tiga emas, empat perak dan empat gangsa. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas