Berita

PESAYA ke-14: Futsal tewas, bukan pengakhiran buat Yayasan Wilayah Persekutuan

|PASUKAN futsal lelaki Yayasan Wilayah Persekutuan |PASUKAN futsal wanita Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersama Ketua Pegawai Eksekutif YWP
- Diterbit 12 Februari 2023 7:59 AM MYT

PENGURUS pasukan futsal lelaki dan wanita Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Muhammad Ariff Noor Azman , 25, percaya dan yakin masih ada ruang yang boleh diperbaiki susulan keputusan mengecewakan pada perlawanan futsal sempena Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) ke-14 yang sedang berlangsung di Kuching, Sarawak.

Menurut Ariff, keputusan yang tidak memihak kepada YWP selepas tewas pada perlawanan semalam bukanlah pengakhiran buat mereka.

“Tipulah kalau saya cakap kami tak kecewa langsung. Namun itulah adat pertandingan. Tidak semuanya menang.

“Walaupun keputusan tidak menyebelahi kami untuk memenangi perlawanan tersebut, itu bukanlah pengakhiran.

“Ini kerana kami sudah pun berikan persembahan yang terbaik dan semua pemain telah sedaya upaya untuk menghasilkan gol.

“Saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain. Walaupun masing-masing sibuk dengan kerja hakiki, mereka tetap mencari masa dan ruang untuk berlatih. Saya ucapkan terima kasih.

“Semasa dalam perlawanan, sesiapa sahaja boleh jadi marah kerana mahukan yang terbaik. Tapi itu hanya dalam perlawanan, selepas itu kami saling bermaafan dan duduk semula berbincang.

“Jadi bukanlah soal tewas yang kami kisahkan. Ia sebenarnya memberi motivasi kepada kami untuk memberikan saingan yang lebih sengit pada PESAYA yang akan datang,” katanya.

PENGURUS pasukan futsal Yayasan Wilayah Persekutuan, Ariff Azman.

Pada perlawanan semalam menyaksikan pasukan futsal lelaki tersingkir awal peringkat kumpulan selepas tewas kepada yayasan dari Kedah, Selangor, Sarawak dan Terengganu.

Manakala pasukan futsal wanita pula tewas kepada yayasan dari Sabah dan Pahang.

PASUKAN futsal lelaki Yayasan Wilayah Persekutuan

 

PASUKAN futsal wanita Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun (tengah)

Ariff juga berharap kelemahan yang ada dapat diatasi dari semasa ke semasa.

“Tiada kejayaan yang datang bergolek. Ia adalah hasil kerja keras dan sikap tidak pernah berputus asa serta kerjasama padu antara pemain.

“Kalau ada yang mempertikaikan potensi kami, saya bangkang kerana banyak kekurangan atau kelemahan yang ada perlu diperbaiki. Bukan semata-mata bergantung kepada pemain.

“Antara perkara yang boleh ditambah baik, jika ada rezeki kami mahu melantik jurulatih profesional untuk membimbing kami. Sebelum ini, kami banyak berbincang strategi hanya sesama sendiri.

“Kalau ada jurulatih yang sesuai, kami ingin mengubah corak permainan agar lebih mantap pada masa akan datang.

“Latihan yang cukup tidak memadai jika tiada bimbingan atau susun atur daripada jurulatih yang profesional,” jelasnya lagi.

PESAYA ke-14 di Kuching, Sarawak ini berlangsung dari 10 hingga 19 Februari 2023.

PESAYA merupakan pertandingan sukan dwitahunan antara semua yayasan negeri dalam Malaysia yang telah diwujudkan sejak 1991.

Objektif PESAYA adalah untuk mengeratkan hubungan antara yayasan negeri di Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas