Berita

PESAYA-14: Perlawanan futsal, atlet Wilayah Persekutuan keguguran?

||||
- Diterbit 14 Februari 2023 5:46 AM MYT

DI sebalik kehangatan Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) yang kini sedang berlangsung di Sarawak, pelbagai suka duka ditempuhi oleh atlet Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Demi mengharumkan nama Wilayah Persekutuan, atlet yang bertanding melakukan sehabis baik semata-mata ingin membawa pulang pingat dan menempatkan YWP sekurang-kurangnya ditangga tujuh teratas.

ZITY alami kecederaan pada bahagian perut ketika perlawanan futsal di PESAYA ke-14 Sarawak.
ZITY mendapatkan rawatan doktor kerana sakit yang dialaminya makin ketara.

Namun, adat pertandingan, pasti ada kalah dan menang, tidak terkecuali juga insiden kecederaan yang tidak dapat dieelakkan.

Terbaharu, atlet futsal YWP, Zity Nabilah Mohd Nadzri mengalami kecederaan pada bahagian bawah perut ketika perlawanan menentang Yayasan Sarawak Sabtu lalu yang berlangsung di Arena Sukan Simpang Tiga, Sarawak.

Berkongsi detik cemas, dia berkata, kejadian tersebut berlaku ketika penalti yang mana tanpa disengajakan sepakan bola terkena pada perutnya.

“Selepas perlawanan tersebut perut saya rasa senak dan sakit. Pada mulanya saya cuba bertahan namun terpaksa mendapatkan rawatan di hospital berdekatan keesokannya.

“Setelah menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan air kencing saya mengandungi darah namun tidak dapat dipastikan adakah saya sedang hamil dan mengalami keguguran,” ujarnya yang tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana sedar risiko yang bakal dihadapi apabila bersukan.

ZITY merupakan atlet futsal dan boling mewakili Yayasan Wilayah Persekutuan

Zity juga mengaku ada terbaca info yang diperolehi daripada internet berkenaan apa yang dialaminya, ada kaitan dengan keguguran.

“Walaupun ada info yang dibaca menjurus kepada tanda-tanda keguguran, saya tak mahu memikirkannya.

“Apa-apa pun saya akan mendapatkan nasihat lanjut daripada doktor dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.

Zity yang merupakan antara tunjang utama YWP dalam meraih emas untuk sukan boling bagaimanapun akur untuk berehat sementara menunggu acara tersebut yang dijadual Sabtu ini.

Terdahulu, PESAYA KE 14 yang berlangsung dari 10 hingga 19 Februari ini merupakan pertandingan sukan dwitahunan antara semua yayasan negeri dalam Malaysia yang telah diwujudkan sejak 1991. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas