Berita

PESAYA ke-14: “Kecederaan tak patahkan semangat saya” – atlet Wilayah Persekutuan

||
- Diterbit 12 Februari 2023 1:29 AM MYT

ATLET Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Ziera Halim mengakui kecederaan pada buku lali yang dialaminya semalam tidak mematahkan semangatnya dalam bersukan.

Ziera atau nama sebenarnya Nur Hazirah Mohamed Halim mengalami kecederaan itu ketika perlawanan futsal menentang pasukan Yayasan Sabah sempena Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) yang ke-14 di Kuching, Sarawak.

“Kecederaan itu berlaku apabila saya cuba merebut bola daripada pihak lawan. Entah macam mana, saya terjatuh namun tetap bangun semula kerana mahu habiskan perlawanan.

“Sebaik sahaja tamat perlawanan, baru saya rasa sakit dan tak boleh berjalan. Mujurlah ada kawan-kawan sepasukan yang peka dan terus bertindak memberikan bantuan.

“Terima kasih juga kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) kerana merawat saya sebelum di bawa ke hospital,” jelasnya yang telah menjalani pemeriksaan doktor dan X-ray di Normah Medical Specialist Centre, Kuching.

ZIERA bersama pasukan futsal wanita Yayasan Wilayah Persekutuan

Ziera juga memberitahu, kecederaan buku lali itu tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik dalam perlawanan yang akan datang.

“Nampak luaran saya ni lembut, tapi saya sebenarnya jenis lasak. Kecederaan tak patahkan semangat saya pun untuk terus mewakili Wilayah Persekutuan dalam PESAYA akan datang atau perlawanan lain.

“Saya selalu mengingatkan diri saya, kemenangan itu soal nombor dua. Iya, Siapa tak nak menang kan?

“Namun apa yang lebih penting adalah semangat tak putus asa dan kerjasama dalam berpasukan,” ujarnya.

Untuk rekod, pasukan futsal wanita Yayasan Wilayah Persekutuan tewas 0-7 kepada Yayasan Sabah. Tahniah kepada semua pasukan yang berjaya ke peringkat seterusnya.

PESAYA merupakan pertandingan sukan dwitahunan antara semua yayasan negeri dalam Malaysia yang telah diwujudkan sejak 1991.

Objektif PESAYA adalah untuk mengeratkan hubungan antara yayasan negeri di Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas