Berita

Pesakit COVID-19 boleh buat pelaporan kendiri melalui MySejahtera

KUALA LUMPUR, 6 Mei -- Orang awam kini boleh memantau tahap kesihatan mereka khususnya sepanjang penularan wabak COVID-19 menerusi aplikasi kesihatan MySejahtera.
MySejahtera membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri dan dalam masa sama membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mendapat maklumat awal bagi tindakan lanjut, cepat dan berkesan.
Aplikasi itu turut menyediakan maklumat dan perkembangan terkini COVID-19, maklumat fasiliti kesihatan terdekat, panduan kesihatan dan pelbagai informasi berkaitan kesihatan.
--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

- Diterbit 15 Januari 2021 1:27 PM MYT

PESAKIT COVID-19 yang sedang menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kini boleh membuat pelaporan kendiri menerusi aplikasi MySejahtera.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemerkasaan aplikasi itu bertujuan melancarkan pengurusan kes positif wabak tersebut selain memenuhi keperluan pengguna dalam memutuskan rantaian jangkitan dalam kalangan komuniti dengan lebih berkesan.

“Mereka (pengguna) boleh ke MySejahtera HelpDesk di halaman utama aplikasi MySejahtera dan ikuti arahan di ruang G,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pengguna yang didaftarkan sebagai kes positif di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM juga akan diberi notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Push Notification melalui MySejahtera mulai hari ini.

Katanya pengguna juga akan mendapat nasihat dan pelan susulan penilaian kendiri serta peringatan untuk melakukan penilaian pemantauan gejala pandemik itu di bahagian ‘Perlu dilakukan’ bagi tempoh 10 hari berturut-turut.

“Sekiranya pengguna bergejala, maklumat tersebut akan terus disalurkan ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan pengguna akan dihubungi oleh petugas kesihatan untuk penilaian lanjut,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai dinasihati untuk mengemas kini aplikasi MySejahtera dan menggunakan sepenuhnya semua fungsi dalam aplikasi tersebut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas