Berita

Pertubuhan Dana Kita sumbang bantuan Deepavali kepada 200 keluarga

||||
- Diterbit 11 November 2020 12:19 PM MYT

PERAYAAN Deepavali yang kebiasaannya disambut meriah saban tahun pastinya akan menjadi ingatan kepada sesebuah keluarga. Kemeriahan sambutan itu pastinya akan dihiasi dengan juadah istimewa. Malah, sambutan tersebut menjadi semakin meriah dengan apabila golongan anak-anak bergaya dengan busana yang baru pada perayaan tersebut.

Namun dengan amalan norma baharu yang diperkenalkan bagi membendung penularan gelombang ketiga pandemik COVID-19, pastinya perayaan yang akan disambut beberapa hari lagi disambut sederhana bagi memutuskan rangkaian wabak tersebut.

Melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pastinya ramai yang terjejas sumber kewangan termasuklah ramai yang telah dibuang kerja ekoran pandemik tersebut.

Menurut Presiden Pertubuhan Dana Kita, Mohd Fadli Salleh berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk memberikan sedikit sumbangan kepada keluarga yang akan menyambut perayaan Deepavali pada tahun ini.

“Kita sebenarnya sudah lama memberikan sumbangan seperti ini, namun untuk sambutan Deepavali, kita memfokuskan kepada keluarga berbangsa India untuk meringankan sedikit beban mereka.

“Ini merupakan sebagai satu sumbangan untuk mereka kerana keadaan pandemik COVID-19 yang belum berakhir serta kita masih berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Beliau berkata, seramai 200 buah keluarga telah dipilih dan kebanyakannya menetap di beberapa Perumahan Awam (PA) termasuk sebuah pangsapuri swasta di sekitar Cheras.

“Selain itu kita telah membuat agihan kepada enam pengerusi atau wakil persatuan penduduk di PA DBKL Taman Ikan Emas, Cheras, PA Sri Pulau Pinang; PA Sri Johor 4A dan 4B; PA Sri Johor 4C dan PA Sri Melaka serta Pangsapuri Indah Mas.

“Selain itu, kami juga menyerahkan sumbangan di Kampung Fajar berhampiran Taman Melawati dan semua penerima adalah dari golongan B40 dan wajar dibantu untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, setiap keluarga mendapat satu set bahan makanan yang terdiri daripada beras, susu tepung, sardin, bihun dan lain-lain dengan nilai RM40 dan melibatkan perbelanjaan kira-kira RM8,000.

Sementara itu, penggerak lokaliti Dana Kita bagi kawasan Cheras, Parameswaran Kunaseigaran berkata, tugas untuk mendapatkan senarai penerima tidak sukar kerana beliau juga merupakan Setiausaha Persatuan Penduduk di kawasan perumahannya.

“Melalui hubungan yang baik dengan ketua-ketua masyarakat, kami dapat melaksanakan amanah orang ramai serta memberikan kegembiraan kepada mereka.

“Selain daripada sumbangan sempena Deepavali, kami turut membantu semua masyarakat yang memerlukan khususnya yang terjejas dengan pandemik ini,” katanya. – WILAYAHKU

 

SUMBANGAN Dana Kita dapat menambah sedikit keceriaan menjelang Deepavali.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas