WK2

Persembahan kebudayaan, teater mengujakan penonton

MALAM Puisi dan Lagu ‘Terima Kasih Wira Kita’ dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang memerangi COVID-19.
- Diterbit 3 Oktober 2020 2:02 AM MYT

PANGGUNG Bandaraya di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan salah satu lokasi bersejarah negara dan digazetkan sebagai bangunan warisan mengikut Akta Antikuiti 1976.

Namun tidak ramai yang tahu bahawa lokasi bersejarah itu sentiasa dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan pementasan teater.

Menurut Ketua Jabatan Pengantara Kerajaan, Petronas, Idham Desa, 38, dia tidak menyangka bangunan kolonial yang tersergam indah itu masih berfungsi dan dipenuhi pelbagai aktiviti menarik setiap bulan.

“Saya agak terkejut apabila rakan mengajak saya menonton Teater Tari ‘Sumpah Semerah Padi’ yang dipentaskan barubaru ini.

“Tetapi saya tidak berpeluang mengikutinya kerana berada di luar kawasan,” katanya kepada Wilayahku.

NOORZILA AHMAD

Bagi suri rumah, Noorzilla Ahmad, 34, pula, pementasan dan program kebudayaan yang dianjurkan DBKL amat mengujakan.

Katanya yang pernah menonton beberapa pertunjukan, Panggung Bandaraya merupakan lokasi strategik, selesa dan sesuai dihadiri bersama keluarga.

Berpandangan sama, seorang pengunjung yang dikenali sebagai Bhupinder menyatakan, walaupun Panggung Bandaraya merupakan bangunan terawal di Kuala Lumpur, namun keadaan di dalamnya sangat selesa dan mampu memuatkan sehingga 250 pengunjung.

Dia yang pernah menyaksikan persembahan musikal MUD: Our Story Of Kuala Lumpur di Panggung Bandaraya turut memaklumkan bahawa cerita yang diketengahkan sangat bermakna dan dipenuhi maklumat sejarah.

“Saya tidak malu untuk menyatakan bahawa banyak perkara yang dipelajari menerusi pementasan teater tersebut.

ANTARA pemuisi semasa Malam Puisi dan Lagu yang dianjurkan pada 22 Ogos lalu.

“Sejarah seperti Kapitan Yap, banjir besar pada 1881 dan bagaimana Kuala Lumpur ditransformasi daripada bangunan kayu kepada hutan batu yang dipersembahkan juga tidak pernah diajar di sekolah,” komennya di Tripadvisor.

Sementara itu, Eksekutif Bank, Norafidah Abdul Halim, 36, berkata, walaupun Panggung Bandaraya sedikit kecil, namun pementasan teater yang dipersembahkan di situ setanding Istana Budaya.

Malah, katanya, suasana lebih menakjubkan kerana bangunan tersebut mempunyai nilai estetika selain mempunyai pelbagai ‘spot’ menarik untuk diabadikan dalam media sosial.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas