Berita

Permit import keratan ayam ikut prosedur

IMPORT AYAM
DR. QUAZA Nizamuddin memberi penjelasan tentang dakwaan pilih kasih AP import ayam. - Ihsan DVS
- Diterbit 2 Ogos 2019 5:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menegaskan bahawa proses kelulusan permit import (AP) keratan ayam ke negara ini dilakukan secara teliti dan rapi mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, setiap permohonan perlu melalui beberapa proses dan memenuhi syarat antaranya mempunyai loji dan kilang bagi memproses keratan ayam untuk dijadikan produk seperti sosej, ‘nugget’ dan burger untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Pematuhan daripada syarat-syarat yang ditetapkan itu akan dikemukakan kepada tiga jawatankuasa di peringkat jabatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk kelulusan.

“Jawatankuasa terakhir sekali yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membuat keputusan sama ada mereka lulus atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi membetul persepsi negatif orang ramai berhubung dakwaan yang tular di laman sosial kononnya wujud pilih kasih dan salah laku dalam proses kelulusan AP keratan ayam.

Menurut Dr. Quaza Nizamuddin, sehingga kini, kerajaan meluluskan 62 daripada 138 syarikat yang memohon untuk mengimport keratan ayam, manakala bakinya tidak diluluskan kerana gagal memenuhi kriteria.

Jelasnya, industri pengimportan keratan ayam adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan sektor hiliran yang mana ia diimport daripada 17 loji dari empat negara iaitu Thailand, Denmark, Brazil dan China.

“Setiap loji di luar negara itu melalui proses audit oleh DVS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan untuk pemeriksaan dari segi halal, penilaian risiko terhadap penyakit serta lain-lain perkara berkaitan.

“Pada 2018, negara mengimport keratan ayam dengan nilai RM468 juta dan mendatangkan pulangan sehingga RM730 juta. Setiap syarikat dibenar mengimport separuh daripada keperluan keratan ayam, manakala separuh lagi ayam tempatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas