Berita

Perlu kerjasama semua pihak tangani perubahan iklim – Nik Nazmi

- Diterbit 31 Januari 2023 3:15 PM MYT

SEMUA pihak termasuk orang awam dan pihak swasta perlu memainkan peranan dalam menangani isu perubahan iklim, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Justeru, beliau memuji Program Adaptasi Iklim Semula Jadi Pulau Pinang (PNBCAP), suatu program untuk kawasan bandar di Pulau Pinang bertujuan menangani isu kepanasan melampau dan banjir serta pada masa sama meningkatkan ketahanan sosial dan kapasiti institusi.

Beliau berkata program itu yang memerlukan penglibatan pihak berkepentingan daripada masyarakat sivil dan golongan rentan bagi mencapai objektifnya akan memberi manfaat kepada penduduk negeri itu.

“PNBCAP adalah satu konsep yang sangat baik dan boleh menjadi pengubah keadaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Program Petempatan Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) dan Think City di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Penasihat Khas kepada Pengarah Eksekutif UN-Habitat Neil Khor and Pengarah Urusan Think City Hamdan Abdul Majeed.

Beliau berkata PNBCAP boleh menjadi model untuk dicontohi negeri lain di Malaysia. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas