Berita

Perkeso bantu majikan cari pekerja

- Diterbit 6 April 2021 7:00 PM MYT

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui jalinan kerjasama dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan SME Association of Malaysia (SME Malaysia) menganjurkan Karnival Kerjaya MYFuturejobs selama dua hari, hingga esok (8 April) bagi membantu majikan mendapatkan pekerja bersesuaian.

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre di sini dari 9 pagi hingga 4 petang itu terbuka kepada orang ramai khususnya pencari kerja dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 64 ahli FMM dan SME Malaysia menyertai karnival yang menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

Perkeso menyeru semua pencari kerja yang berminat untuk mendaftar di https://careerfair.perkeso.gov.my/. memandangkan bilangan penyertaan adalah terhad mengikut pelaksanaan SOP.

Perkeso turut menyediakan kaunseling kerjaya dan panduan menggunakan portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFuturejobs sepanjang karnival berlangsung dua hari ini.

Sementara itu, Perkeso memaklumkan majikan daripada FMM dan SME Malaysia boleh memanfaatkan peluang melalui Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya) yang disediakan kerajaan  untuk mereka menggaji pekerja tempatan baharu.

Menurut Perkeso Program PenjanaKerjaya menyediakan  subsidi kepada majikan sehingga RM36,000 bagi setiap pengambilan pekerja baharu untuk tempoh maksimum enam bulan.

“Selain itu, setiap pekerja baharu digajikan layak mengikuti program latihan yang ditanggung sepenuhnya di bawah PenjanaKerjaya sehingga RM7,000 bagi satu kursus latihan.

“Pekerja-pekerja juga layak menerima satu bayaran Bantuan Mobiliti sebanyak RM500 atau RM1,000,” menurut kenyataan itu.

Perkeso memaklumkan pakej insentif itu bertujuan membantu majikan mendapatkan pekerja berkemahiran untuk operasi mereka dan pada masa sama membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran negara. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas