Berita

Perincian penyelidikan asal usul COVID-19 di China akan didedahkan kepada umum: WHO

- Diterbit 14 Januari 2021 6:54 AM MYT

SEKUMPULAN saintis antarabangsa terdiri pakar dari 10 buah negara dan institut tiba di China untuk bersama-sama pakar tempatan bagi menjalankan kajian saintifik mengenai asal usul COVID-19 bermula hari ini (Khamis).

Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Margaret Harris ketika diwawancara wartawan CGTN telah memberikan butiran terperinci mengenai kandungan dan skala kajian yang akan dijalankan pasukan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya akan mendalami kajian tentang kes COVID-19 yang terawal ditemui di Wuhan dan pelbagai spesies haiwan yang mungkin terlibat wabak sambil menggunakan kaedah penyelidikan seperti serum darah makmal dan antibodi.

Katanya, kajian secara teliti oleh pasukan kali ini memerlukan masa lebih panjang selain itu saintis akan  berkongsi hasil keputusan serta  data, melaksanakan sumbang saran, dan mengemukakan beberapa hipotesis penyelidikan .

Tambah beliau, lawatan ke China ini  tidak mempunyai kaitan dengan politik, sama seperti yang dimaklumkan Ketua Pengarah WHO sebelum ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas