Berita

Perancangan skuad hoki selepas vaksinasi – Arul

SKUAD hoki lelaki negara akan merancang semula latihan mereka selepas melengkapkan dos kedua vaksin COVID-19 esok. Kredit foto oleh - BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Ogos -- Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Arul Selvaraj pada sidang media di Stadium Hoki Bukit Jalil hari ini.

- Diterbit 14 Jun 2021 12:16 PM MYT

SKUAD hoki lelaki negara teruja untuk merancang semula latihan mereka selepas melengkapkan dos kedua vaksin COVID-19 esok, selepas menjalani latihan di rumah selama sebulan kata ketua jurulatih A. Arul Selvaraj.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hanya selepas melengkapkan vaksinasi, kami boleh merancang persediaan pasukan hoki negara dan penyertaan kejohanan selepas tertangguh akibat peningkatan kes COVID-19.

“Kami mahu tahu apakah prosedur operasi standard (SOP) untuk atlet sebaik melengkapkan vaksinasi, sama ada boleh memulakan latihan, pergi ke luar negara untuk latihan dan pertandingan, dan adakah kami masih perlu menjalani kuarantin 14 hari selepas kami balik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pemain pasukan itu telah menjalani latihan fizikal di rumah dan kawasan perumahan masing-masing sejak bulan lepas, selepas tidak dapat menjalankan latihan berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil akibat PKP.

Dengan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh yang dijadualkan dari 18-27 Jun dan Kejohanan Jemputan Empat Negara di Valencia di Sepanyol pada Julai, telah dibatalkan, anak buah Arul kemungkinan akan perlu untuk menunggu sehingga Piala Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada Oktober untuk kejohanan besar.

Arul berkata, beliau akan cuba memastikan anak buahnya sentiasa bersemangat dan memastikan mereka terus dalam keadaan terbaik untuk menghadapi pertandingan pada masa hadapan, kerana pingat emas pada Sukan Asia tahun depan akan memastikan tiket untuk Olimpik Paris 2024. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas