Berita

Peranan kartunis diperluas, jadi tarikan ‘tourists product’

- Diterbit 26 Jun 2020 10:52 AM MYT

PERANAN dan kreativiti para kartunis akan terus diperluas bagi membolehkan karya kreatif dihasil sebagai produk seni yang menjadi antara tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pelbagai perancangan sedang dan telah dilaksana melibatkan kartunis, para pelukis komik dan artis yang beperanan merancakan lagi aktiviti pelancongan setempat.

Beliau berkata, selama ini golongan kartunis juga telah memainkan peranan besar menyampaikan mesej-mesej kreatif untuk rakyat seperti normal baharu dan ancaman penularan Covid-19, bukan saja di Malaysia malah Singapura dan Indonesia.

“Jadi sumbangan dan peranan kartunis dan artis ini boleh diketengahkan bagi merancakkan lagi tarikan pelancongan di kawasan sekitar Taman Tasik sebagai laluan penting hubungkan Muzium Negara dan hab pengangkutan di KL Sentral,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media selepas merasmikan pameran kartun: Kartunis vs Covid-19 di Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) di Kuala Lumpur, hari ini.

RKKM telah dibuka sejak 1 April 2017 sempena Hari Kartunis Semalaysia 2017, lokasi penting menghimpunkan lebih 500 koleksi karya daripada 50 kartunis tempatan sejak 1930-an antaranya kartunis terkenal negara Datuk Mohd Noor Khalid atau Lat, Jaafar Taib, Dinie Juri, Rossem, Gayour dan lain-lain lagi.

Sementara itu Presiden Kelab Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar atau nama penanya, Juragan menzahirkan terima kasih atas keprihatinan oleh Annuar yang mahukan warga seni melibatkan diri secara aktif mempromosi dan mempelbagaikan lagi produk pelancongan tempatan.

“Pameran kartun: Kartunis vs Covid-19 ini telah berlangsung mulai 26 Jun sehingga 31 Ogos ini dilihat sebagai medan terbaik mengangkat karya kartunis tempatan, selain memperkenal bidang seni sebagai salah satu instrumen penting dalam meningkatkan aktiviti pelancongan.

Kami di RKKM amat berharap dapat bekerjasama dan mengembleng tenaga bersama kementerian untuk mengetengahkan karya kreatif kepada para pelancong dan menyumbang di dalam menjana ekonomi negara selain membantu pemdapatan kalangan kartunis,” katanya.

Selain mengetengahkan lebih 150 karya seni oleh 35 kartunis di sepanjang pameran berlangsung, RKKM turut menyimpan karya berusia lebih 80 tahun seperti Mahsuri lukisan Saidin Yahya serta komik yang menjadi fenomena suatu masa dulu seperti Gila-Gila dan Ujang. -Oleh SYAHIDI BAKAR -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas