Agama

Penyembelih korban tidak boleh ambil upah

HUKUM-memberikan-daging-korban-sebagai-upah-penyembelihan
HUKUM-memberikan-daging-korban-sebagai-upah-penyembelihan
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:57 AM MYT

FATWA KONTEMPORARI
Oleh DATUK SERI DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan: Bolehkah memberikan upah berupa daging korban kepada penyembelih dan juga pelapah daging?

Jawapan:
ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orangorang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Terdapat sebuah hadith yang sahih berkenaan persoalan di atas yang mana menunjukkan terdapat larangan untuk diberikan upah kepada penyembelih daripada bahagian daging korban itu. Ianya hadith yang telah diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib RA, maksudnya: Rasulullah SAW telah mengarahkan aku
untuk melakukan sembelihan terhadap unta dan mengarahkan juga kepadaku agar tidak memberi daging daripadanya sebagai upah kepada penyembelih dan juga pelapahnya.

Riwayat Al-Bukhari (1716) dan Muslim (1317) Dalam riwayat Muslim pula terdapat tambahan daripada ‘Ali bin Abi Talib RA yang mengatakan: “Kami memberikan
kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta)
kami sendiri”.

Berkenaan hadith di atas, al-Imam al-Son’ani Rahimahullah di dalam kitabnya Subul al-Salam ada memberikan komentar terhadapnya dengan mengatakan: “Hadith ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang
korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya
tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah
sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan sebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama seperti hukum sembelihan haji di mana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan
pelapah sedikitpun daripadanya.” [Lihat Subul al-Salam.
Dar al-Hadith, 2/537]

Seterusnya, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah juga ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Minhaj iaitu syarah
kepada hadith-hadith di dalam Sahih Muslim dengan
mengatakan: “Tidak dibenarkan untuk memberikan sesuatu daripada bahagian korban kepada al-jazzar (tukang sembelih) dan inilah mazhab kami dan dengannya juga adalah pendapat ‘Atho, al-Nakha’ie,
Malik, Ahmad, Ishak dan dihikayatkan daripada Ibn
al-Munzir daripada Ibn Umar daripada Ahmad dan Ishak
bahawa dibolehkan untuk menjual kulit sembelihan dan
bersedekah dengan harganya” [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi, 9/65]

Pendapat sama juga diulangi oleh al-Imam al-Nawawi di
dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu Syarh al-Muhazzab.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas dengan melihat kepada dalil dan juga pendapat para ulama mengenainya, maka kami katakan di sini bahawa tidak dibolehkan untuk memberikan upah berupa bahagian
korban kepada tukang sembelih.

Adapun penyelesaian yang boleh difikirkan untuk diberikan kepada penyembelih adalah berdasarkan perkataan ‘Ali bin Talib RA sepertimana di dalam riwayat Muslim iaitu upah diberikan kepada penyembelih menggunakan harta dari empunya korban atau organisasi dan bukannya dari bahagian korban.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas