Berita

Pensyarah kejuruteraan UTP rakyat Malaysia pertama terima Mountbatten Medal

- Diterbit 11 November 2020 8:03 AM MYT

PENSYARAH kejuruteraan elektrik dan elektronik Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Madya Dr Tang Tong Boon muncul sebagai rakyat Malaysia pertama menerima Mountbatten Medal, antara anugerah pencapaian berprestij daripada Institusi Kejuruteraan dan Teknologi (IET).

Menurut kenyataan UTP hari ini, Tang menerima Mountbatten Medal atas sumbangannya dalam neuroteknologi dan penggunaan teknologi itu dalam jagaan kesihatan mental, selain sebagai pengiktirafan terhadap kerja rintis beliau berkenaan spektroskopi inframerah dekat fungsian (fNIRS) di Malaysia.

“Saya menerima Mountbatten Medal daripada IET ini dengan penuh rasa hormat, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian saya dalam pemajuan neuroteknologi serta penggunaan teknologi itu di seluruh Asia.

“Saya sangat bertuah dapat bekerja dengan banyak pihak serta pelajar yang cemerlang. Saya juga ingin berterima kasih kepada pengurusan UTP atas sokongan yang diberikan. Tahniah kepada jurutera dan ahli teknologi lain yang turut diiktiraf atas kerja-kerja rintis mereka,” katanya dipetik oleh kenyataan itu.

Tang menerima ijazah sarjana muda (kepujian) dan ijazah doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan elektronik dan elektrik daripada University of Edinburgh, masing-masing pada 1999 dan 2006. Beliau pernah bertugas di Lucent Technologies (Singapura) dan University of Ediburgh antara 1999 dan 2012.

Beliau menyertai UTP pada 2012 sebagai profesor madya kejuruteraan elektrik dan elektronik. Pusat penyelidikan beliau, Pusat Penyelidikan Isyarat Pintar dan Pengimejan UTP, telah dianugerahi status Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi Malaysia (HICoE), iaitu satu daripada 20 pusat kecemerlangan merentasi semua disiplin ilmu.

Tang dianugerahi Lab on Chip Award pada 2006 dan menerima IET Nabiotechnology Premium Award pada 2008. Beliau merupakan ahli Lembaga Pengelola Kemudahan Penyelarasan Neuroinformatik Antarabangsa (INCF) dan adjung profesor di National Taiwan Normal University.

Pada masa ini, Tang merupakan Setiausaha Majlis HICoE dan penyandang Kursi IEEE Circuits and Systems Society cawangan Malaysia. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas