Berita

Penjaga tandas awam gembira dirai, terima bakul makanan

IDRIS (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada Asmi di hadapan Tandas Awam Istana Negara Lama.
- Diterbit 10 Oktober 2021 3:00 AM MYT

CAKNA dan prihatin dengan tugasan penjaga tandas awam di ibu negara, Persatuan Penyayang dan Kesaksamaan Kuala Lumpur mengambil inisiatif menyerahkan bakul makanan kepada petugas terlibat.

Pengerusinya, Idris Moktar berkata, pihaknya sangat menghargai peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan pencuci tandas awam di seluruh Kuala Lumpur sepanjang tempoh penularan wabak.

Ujarnya, tandas awam sentiasa menjadi tumpuan warga kota yang mana ia membuka ruang jangkitan wabak kepada petugas terlibat.

“Mereka pun boleh dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan kerana perlu berhadapan risiko dijangkiti COVID-19. Bagaimanapun, ramai yang terlepas pandang golongan ini,” katanya kepada Wilayahku pada Ahad.

Menurut Idris, sumbangan berupa barangan asas dapur itu diserahkan sebagai pengenalan kepada Hari Tandas Sedunia yang akan disambut pada 11 November setiap tahun.

Tambahnya, persatuan amat berharap, warga kota memberi kerjasama untuk menjaga kerbersihan tandas awam demi kebaikan semua termasuk pelancong luar.

Sementara itu, penerima sumbangan di tandas awam belakang Istana Negara Lama, Asmi Senin, 47, menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diberikan
Persatuan Penyayang dan Kesaksamaan Kuala Lumpur.

“Saya sangat menghargai sumbangan barang dapur yang diberikan,” katanya yang juga kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Terdahulu, sumbangan diserahkan kepada penerima di lapan lokasi tandas awam terpilih sekitar ibu negara yang bermula pukul 10 pagi sehingga 12.30 petang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas