Berita

Penjaga stor didakwa ugut tikam isteri dengan pisau

- Diterbit 13 Januari 2021 4:38 AM MYT

SEORANG penjaga stor di sebuah kilang roti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan mengatakan ingin menikam isterinya dengan pisau, pada Isnin lepas.

A.Nagarajan, 45, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-T dan berseluar pendek membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas P. Mehanadevi, 39, dengan mengatakan “saya tikam you nanti dengan pisau” di sebuah rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini, pada 10 malam, 11 Jan lepas, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Yong Ching Hong menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan bahawa tertuduh dilarang mengganggu saksi.

Peguam Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga serta ibunya yang uzur.

Nik Mohd Fadli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Feb ini untuk sebutan kes. – BERNAMA 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas