Berita

Peniaga Little India dapat semula lesen

ZAINAL (dua dari kanan) menyerahkan lesen kepada peniaga-peniaga Little India Brickfields baru-baru ini. ZAINAL (dua dari kanan) menyerahkan lesen kepada peniaga-peniaga Little India Brickfields baru-baru ini.
- Diterbit 20 Mei 2022 4:00 AM MYT

TUJUH penjaja di Little India, Brickfields yang dibatalkan lesen berniaga sejak dua tahun lalu, dapat semula lesen mereka baru-baru ini.

Sebelum lesen dibatalkan, DBKL memberi lesen sementara yang perlu diperbaharui setiap tahun dan ia dibatalkan ekoran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mahu mengambil kembali tanah menempatkan ruang niaga penjaja terbabit.

Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, berkata masalah berkaitan lesen perniagaan di kawasan itu berpunca daripada status tanah digunakan penjaja untuk beroperasi.

“Tanah ini milik PTG, kini PTG telah menyenaraikan tanah terbabit kepada DBKL. Maka DBKL boleh mengeluarkan lesen penjaja dan berkuasa untuk memperbaharui lesen.

“Terima kasih juga kepada Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Dr Shahidan Kassim) dan Datuk Bandar (Datuk Seri Mahadi Che Ngah) kerana memberi kelulusan untuk penjaja mendapatkan lesen hari ini,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Penjaja Statik Little India Brickfields, baru-baru ini.

Difahamkan, penjaja yang menerima surat tawaran memulakan perniagaan mereka sejak 1999, termasuk Veal Alagi Krishnasami, 57, yang menjual nasi lemak.

“Dengan umur semakin tua dan masalah kewangan, agak sukar saya untuk berpindah dan mencari lokasi baharu. Sebelum ini, banyak rayuan dibuat kepada orang atasan supaya lesen sementara diberi semula dan hari ini, kami bersyukur akhirnya permohonan kami didengar,” katanya.

Penjaja lain yang menerima surat tawaran, Ooi Ah Boi, 73, berkata bukan mudah baginya untuk berdepan masalah tiada lesen perniagaan selama dua tahun dan berterima kasih kepada PTG atas keperihatinan memberi semula hak untuk menjaja.

“Terima kasih kepada pengarah PTG, memahami rayuan kami yang sudah tua. Ini sahaja tempat kami mencari rezeki dan berharap dapat berniaga dengan tenang kerana setiap hari risau memikirkan tempat mencari rezeki jika tiada lesen,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas