Berita

Peniaga didakwa cederakan isteri ketiga sehingga parah

SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isteri ketiganya sehingga parah, awal bulan lepas. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 17 Jun 2021 6:10 AM MYT

SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isteri ketiganya sehingga parah, awal bulan lepas.

Tertuduh, Rosmaini Abd Raof, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim V. Mabel Sheela.

Lelaki yang berasal dari Kedah itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Jahidah Nordin @ Sylvester, 43, seorang penjawat awam, dengan memukul bahagian kepala, muka dan tangan serta menghentak kakinya pada bahagian belakang badan mangsa.

Rosmaini didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bernombor 02-09, Blok B, Scott Tower, Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin di sini, pada kira-kira 6 pagi, 4 Mei lepas.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau penjara dua kali ganda tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh namun Rosmaini yang tidak diwakili peguam, merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menanggung tujuh anak dan tiga isteri.

Mabel Sheela membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak berkomunikasi dengan mana-mana saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 25 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 17 Mei lepas, media melaporkan seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor, dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah di sini selepas dipercayai dicederakan suaminya, awal bulan lepas.

Mangsa yang dilaporkan sedang hamil empat minggu itu mengalami kecederaan parah pada kepala, dan  sebahagian tempurung kepala terpaksa dibuang akibat pendarahan, selain rahang, tulang belakang serta rusuk, retak disyaki dipukul suaminya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas