Berita

Pengusaha restoran tawar makanan percuma

- Diterbit 19 Januari 2021 2:19 AM MYT

SEDAR akan situasi kehidupan orang ramai kian terhimpit dek pandemik COVID-19, seorang pengusaha restoran makanan mengambil inisiatif dengan menawarkan makanan percuma kepada mereka yang memerlukan.

Pemilik Restoran Big Boss Banana Leaf M. Moganasundram, 37, berkata tawaran makanan percuma berbentuk 100 bungkus nasi berserta lauk itu akan berlangsung hingga 26 Jan ini.

“Bagi saya, jika PKP dilanjutkan lagi, kami tetap akan buat (edar makanan percuma). Malah, sejak PKP pertama juga kami sudah jalankan usaha ini.

“Ia tidak lain tidak bukan adalah untuk meringankan sedikit sebanyak beban golongan terkesan ketika pandemik COVID-19 yang rata-ratanya mengalami masalah daripada segi sumber pendapatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di restoran miliknya di Jalan Ooi Kar Seng, di sini.

Menurut beliau, setiap hari pihaknya menyediakan lauk pauk bermula 3 hingga jam 5 petang, kemudian membungkus makanan sebelum diedarkan secara terus kepada pelanggan yang datang ke restoran pada 6 petang.

“Kebiasaannya, kami buat menu secara bergilir contohnya, satu hari lauk vegetarian, satu hari lauk biasa. Antara lauk yang disediakan ialah nasi putih, telur masak sambal, ikan goreng, ayam, sayur dan juga kuah. Malah, saya akan pastikan masakan adalah sama seperti lauk katering…biar semua orang dapat menikmati keenakan masakan ini,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Beliau berkata setiap hari pihaknya menyediakan bahan mentah sebanyak 10 kilogram beras, 100 ekor ikan, 100 biji telur ayam, 100 ketul bahagian ayam dan juga sayur-sayuran.

“Bagi saya, wang bukanlah menjadi keutamaan, sebaliknya berbuat baik sesama insan tanpa mengira latar belakang bangsa dan juga agama sebab masih ada dalam kalangan kita adalah golongan tidak bernasib baik dan hidup melarat. Jadi, kenalah bantu,” katanya yang mempunyai 12 orang pekerja.

Sementara itu, seorang suri rumah, D. Puspamalar, 51, berkata inisiatif diambil oleh Moganasundram harus dipuji kerana ketika ini masih ramai yang kurang bernasib baik perlu diberi perhatian.

“Bagi saya usaha ini memang patut diteruskan. Sebab banyak orang tidak dapat bekerja dan tiada pendapatan (disebabkan COVID-19) yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lelaki warga emas, Goh Cheng Weng, 65, yang hidup sebatang kara menyatakan bahawa masakan disediakan oleh pihak restoran sedap meskipun diberi secara percuma.

“Kadang-kadang saya datang sini (kedai) sebab Moganasundram panggil…dia tahu saya hidup susah, jadi dia bagi saya makan percuma, tambahan pula sangat sedap. Terima kasih kepadanya,” katanya yang tinggal di sekitar pekan Nibong Tebal, di sini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas