Berita

Penguasaan Felda ke atas FGV perlu utamakan kepentingan peneroka – Kaukus

- Diterbit 8 Februari 2021 6:43 AM MYT

KAUKUS Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mahu pengambilalihan FGV Holdings Berhad oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dilaksanakan dengan mengutamakan kepentingan pihak terlibat, khususnya peneroka dan warga Felda.

Pengerusinya Senator Datuk Razali Idris berkata pengambilalihan itu antara lain perlu memastikan keuntungan bersama dikecapi pihak terlibat menerusi terma yang munasabah dan tidak membabitkan kepentingan peribadi mana-mana pihak.

Ini termasuk memastikan harga RM1.30 sesaham yang ditawarkan bersesuaian dengan harga pasaran semasa, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ini kerana sebahagian besar peneroka merupakan pemegang saham FGV.

Pada masa sama, beliau berkata jawatankuasa itu juga mahu pihak yang berkenaan memastikan pengambilalihan tersebut menjadi tunjang kemajuan Felda melalui pewujudan kerja berpendapatan tinggi, ekonomi berskala besar, meningkatkan taraf pendidikan dan latihan, memperkasakan kebajikan peneroka dan generasi mereka serta membangunkan keusahawanan dalam kalangan generasi kedua dan ketiga peneroka.

“Felda juga perlu memastikan peneroka dan aset syarikat terus dilindungi daripada dimanipulasi oleh pedagang rakus, syarikat konglomerat asing dan pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan organisasi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Felda juga harus memberi jaminan prestasi termasuk harga dan kadar perahan minyak sawit diperhalusi, dibincangkan dan ditambah nilai menerusi rundingan bersama bagi melindungi peneroka.

“Kaukus juga berharap demi kepentingan 112,638 peneroka dan dua juta warga besar Felda, pengambilalihan ke atas FGV dilaksanakan secara lancar, harmoni dan baik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Felda membeli 1.65 juta lagi saham FGV daripada pasaran terbuka pada harga tawaran RM1.30 sesaham pada 4 Feb lepas (Khamis).

Ini menyusuli pengumuman Felda pada 8 Dis 2020 akan cadangannya untuk membuat tawaran pengambilalihan selepas membeli 222.48 juta saham FGV (6.1 peratus kepentingan) dipegang oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan 283.71 juta saham FGV (7.78 peratus kepentingan) dipegang oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd bernilai RM658 juta.

Setakat 29 Jan lalu, Felda dan mereka yang terlibat memegang sebanyak 68.76 peratus kepentingan dalam FGV. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas