Selebriti

Pengorbanan Azharina, Amira

AZHARINA dan Amira percaya ada hikmah di sebalik pengorbanan
- Diterbit 20 Julai 2021 8:01 AM MYT

APABILA tiba sambutan Hari Raya Aidiladha, kebiasaannya seluruh umat Islam menghayati kisah serta sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anak baginda, Nabi Ismail AS.
Kisah ini mengingatkan kita mengenai erti kesabaran dan berlapang dada dalam menempuh kesukaran hidup.

Semangat serta nilai kesabaran inilah kita serapkan dalam diri apabila semua rakyat Malaysia harus berkorban dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19.

Nampaknya bukan sedikit, tetapi besar pengorbanan yang rakyat pertaruhkan memandangkan kes COVID-19 semakin membimbangkan.

Para selebriti antara golongan yang turut terkesan sepertimana juga orang lain. Ini menuntut pengorbanan yang berterusan disusuli kekuatan iman.

 

“Berjauhan dengan keluarga bukan mudah” – Amira Othman

Penyanyi lagu Surat Akhir, Amira Othman, 27, menganggap berjauhan dengan keluarga antara pengorbanan yang berat sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

“Berbulan-bulan tak jumpa mak, ayah dan beradik yang lain di Johor Bahru. Rasa sedih dan rindu makin menebal apabila menjelang Hari Raya Aidiladha.

“Apa-apa pun saya perlu akur dengan keadaan tidak mengizinkan sekarang. Ini juga adalah rasa tanggungjawab sebagai rakyat yang perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) agar tidak bertambah kemudaratan.

“Saya tahu berjauhan dengan keluarga bukan mudah. Saya pasti ramai lagi yang korbankan perkara sama. Semoga pengorbanan ini Allah terima sebagai salah satu asbab kebaikan buat kita dunia akhirat.

“Bukan senang nak berpisah dengan mak ayah tapi apakan daya, kita semua punya rasa tanggungjwb dalam diri.

“Saya bangga dengan rakyat malaysia yang berkorban perkara yang sangat sukar ini semata-mata mahu melihat negara kita kembali pulih,” luah Amira Othman yang mengajak masyarakat berdoa agar kita dilindungi dari wabak COVID-19.

 

Teruskan kelangsungan hidup satu pengorbanan – Azharina

Bagi penyanyi lagu Elegi Sepi, Azharina Azhar ,36, pengorbanan yang paling dituntut sekarang adalah menghadapi cabaran dalam mencari rezeki.

“Dalam kepayahan sekarang, ramai yang hidup susah apabila kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Saya tahu ia sangat perit apatah lagi mereka yang mempunyai keluarga.

“Saya sendiri sebagai artis juga menerima nasib seperti orang lain. Sudah berapa lama kami tak dibenarkan membuat persembahan? Simpanan kami makin hari makin susut.

“Ini telah menuntut sebuah pengorbanan apabila semua yang terkesan perlu memikirkan cara lain dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Buatlah apa sahaja, janji halal. Sukar atau tidak, pengorbanan perlu diteruskan dan kita tiada pilihan lain.

“Dalam masa yang sama, kita perlu perbaiki hubungan dengan Allah. Cari di mana kurangnya amalan kerana itu tanggungjawab kita sebagai hambaNya,” ujar Azharina.

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas