Berita

“Pengiktirafan untuk negara, bukan saya” – Dr. Noor Hisham

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 16 April 2020 12:35 PM MYT

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menyifatkan pengiktirafan diberikan China Global Television Network (CGTN) kepada beliau adalah untuk negara dan bukannya untuk peribadi dirinya.

Beliau menyatakan, ini kerana semua pihak memainkan peranan dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini.

“Kami hanya memberikan nasihat berdasarkan keadaan semasa dan keputusan dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Contohnya tindakan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), Perdana Menteri yang melaksanakan arahan dan kita hanya memberikan nasihat.

“Bagaimanapun, kita bersyukur dan terima kasih kepada semua kementerian yang bekerjasama dalam melaksanakan PKP,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham Abdullah dan dua lagi tokoh perubatan negara luar, Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr Ashley Bloomfield dari New Zealand mendapat pengiktirafan media China serta menggelar mereka sebagai penyampai kebenaran dan hero dunia.

CGTN menamakan Dr Noor Hisham dan dua doktor itu sebagai ‘wajah paling dipercayai’.

Dr Noor Hisham menyandang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 dan masih menjalankan tugas sebagai perunding kanan dan pakar bedah endokrin di Hospital Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas