Berita

Penghuni ‘sardin’, 10 keluarga tinggal sebumbung kerana miskin

SEBUAH keluarga terpaksa hidup dalam kesempitan akibat kekangan
- Diterbit 11 Disember 2020 6:17 AM MYT

UMPAMA sardin di dalam tin. Itu keadaan yang terpaksa dilalui sebuah keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Kuala Lumpur sejak beberapa bulan lalu.

Ini kerana rumah berkeluasan kira-kira 750 kaki persegi itu terpaksa didiami 10 individu termasuk dua kanak-kanak.

Keadaan itu berikutan kos untuk menyewa rumah di Kuala Lumpur agak mahal selain penyewa perlu menyediakan wang deposit 2+1 di samping bayaran pendahuluan bagi bil utiliti.

Menurut pengadu, keadaan itu disebabkan anak sulung dan anak keduanya yang sudah berkahwin terpaksa tinggal bersama selepas kehilangan pekerjaan akibat COVID-19.

“Rumah ini didiami 10 orang termasuk saya. Anak yang sulung sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak manakala anak kedua juga sudah berkahwin.

“Masalahnya, anak-anak yang sudah berkahwin terpaksa tinggal bersama kerana tidak mampu menyewa di luar,” katanya kepada PERTIWI baru-baru ini.

Menurut pengadu, pada masa ini, anaknya yang kehilangan pekerjaan telah mula menjaja di tepi jalan namun pendapatan harian tidak menentu.

Ujarnya yang turut berniaga Jalan Benteng berhampiran LRT Masjid Jamek, lebih menyedihkan apabila, permohonan anaknya, untuk mendapatkan rumah PPR sudah dilakukan sejak enam tahun lalu dan sehingga kini masih tiada maklum balas yang diterima.

“Anak saya sudah lama memohon rumah PPR, daripada anaknya yang pertama lahir  sehingga sudah berusia enam tahun.

“Rayuan juga sudah dibuat sebanyak tiga kali, namun keputusan tetap mengecewakan,” adunya kesal.

Dalam pada itu, dia turut berharap supaya anak-anaknya yang sudah berkahwin berpeluang mendapatkan rumah PPR supaya dapat hidup dalam suasana yang selesa dan harmoni.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas