Berita

Pengecualian cukai pelancongan bantu pulih industri – Shahidan

PENGECUALIAAN duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan membantu industri terbabit kembali bangkit selepas pandemik COVID-19 melanda.
- Diterbit 5 November 2021 3:10 AM MYT

PENGECUALIAN cukai pelancongan yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini menerusi pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam, akan dapat membantu memulihkan industri pelancongan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan turut membantu industri terbabit kembali bangkit selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Meskipun Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) tidak menerima jumlah peruntukan yang diharapkan daripada kerajaan Persekutuan, kami tetap terus komited meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi Bajet 2022, KWP menerima RM414,209,900 bagi tujuan pembangunan merangkumi projek Perkongsian Awam-Persendirian (PPP) dan Inisiatif Kewangan Swasta (PFI); membaik pulih jalan-jalan dan jambatan-jambatan; baik pulih sungai; ‘sewerage non-river’ (SWR) dan ‘River of Life’ (ROL) atau Sungai Nadi Kehidupan, selain pembangunan di Labuan dan Putrajaya.

“Sebanyak RM256,601,400 pula sebagai peruntukan mengurus termasuk bagi tujuan pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar; perancangan dan pembangunan; pengurusan; program khusus untuk penyelenggaraan bas Putrajaya; diskaun tambang feri Labuan dan naik taraf Dataran Pahlawan Negara,” katanya.

Mengenai program ‘Community Feeding’ kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar di beberapa negeri termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Shahidan berkata, KWP dan agensi di bawahnya akan memastikan peruntukan itu bakal memberi manfaat kepada rakyat di Wilayah Persekutuan dan meringankan beban keluarga yang terkesan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas