Berita

Penganggur mengaku tidak bersalah cederakan dua anggota polis, guna kayu, parang

- Diterbit 26 Oktober 2020 7:45 AM MYT

SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas dua anggota polis menggunakan kayu dan parang, empat tahun lepas.

Rosli Lahaman, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa bersama-sama seorang lelaki yang telah dituduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Koperal detektif Mustaza Nizan Minhaj, 40 dan Konstabel Danny Sia Siaw Kian, 22, di sebuah rumah kosong setinggan di Kampung Tangki Air Jalan Kuari, Cheras di sini pada 6 petang, 29 April 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan kerana penjamin tertuduh tidak hadir di mahkamah dan 25 Nov ditetapkan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas