Berita

Penerbit filem ‘Babi’ didakwa terbit filem tanpa lesen Finas

HAN Boon (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu, atas pertuduhan mengeluarkan filem 'Babi' dan mempamerkan poster filem itu tanpa lesen daripada Finas November tahun lalu. Kredit foto: Sinar Harian
- Diterbit 21 Julai 2021 7:12 AM MYT

PENERBIT filem kontroversi bertajuk ‘Babi’ didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengambil bahagian dalam pengeluaran filem tersebut dan mempamer poster tanpa lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), November tahun lepas.

Toh Han Boon, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan PJU 7/8, Mutiara Damansara, di sini pada 6 petang, 18 Nov 2020.

Dia dituduh mengikut Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244 Pindaan 2013) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, sehingga kes selesai.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Toh membantah syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan dengan alasan ia tidak munasabah serta syarat itu tidak diperlukan bagi kesalahan di bawah Akta Finas.

“Anak guam saya boleh datang ke mahkamah mengikut tarikh yang ditetapkan. Saya juga memohon jaminan rendah kerana pendapatannya turut terjejas berikutan situasi negara yang sedang mengalami pandemik COVID-19,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Pada Disember tahun lepas, Bernama melaporkan Persatuan Seniman telah membuat laporan polis terhadap filem ‘Babi’ yang ditayangkan di luar negara kerana dipercayai mempunyai unsur perkauman dan didakwa telah menjejaskan imej Malaysia. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas