Berita

Penduduk P. Pinang diminta kemuka pertanyaan berkaitan PKP kepada MBPP, MBSP

- Diterbit 15 Januari 2021 8:36 AM MYT

KERAJAAN Pulau Pinang meminta orang ramai mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atau Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo berkata masih ramai penduduk Pulau Pinang keliru dengan sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP dan prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan untuk sektor perniagaan masing-masing.

“Di Pulau Pinang, selain mengikut senarai (perniagaan) yang dibenarkan (untuk beroperasi semasa PKP) dan yang tidak dibenarkan, kami juga akan melayan pertanyaan mengenai sama ada (perniagaan tertentu) dibenarkan atau tidak. Selepas itu, kedua-dua Datuk Bandar akan menyampaikan semua pertanyaan itu kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan penjelasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pertanyaan berkaitan PKP boleh dikemukakan melalui aplikasi Whatsapp di 016-200 4082 atau menghubungi talian hotline di 04-263 7000 (MBPP)/04-269 6969 (MBSP).

“Orang ramai juga boleh mengikuti laman media sosial kedua-dua Majlis Bandaraya itu untuk mengetahui maklumat terkini,” kata beliau.

Jagdeep mengulas pertanyaan beberapa persatuan pengguna yang meminta definisi dan kategori yang lebih jelas untuk “perkhidmatan perlu” yang dibenarkan beroperasi semasa PKP.

Pusat beli-belah, restoran, kedai perabot, kedai barang kemas, kedai barangan elektronik, kedai alat tulis adalah antara jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi semasa PKP manakala pusat tuisyen, kedai cermin mata, kedai menjual pakaian dan lain-lain tidak dibenarkan beroperasi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas