Berita

Penduduk Labuan gempar susulan dengar bunyi letupan dan gegaran

- Diterbit 31 Januari 2021 10:39 AM MYT

SUSULAN berlaku kejadian bunyi letupan dan gegaran pada jam 11 pagi tadi mengakibatkan penduduk Labuan panik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, pihaknya telah terima panggilan telefon daripada orang awam  yang memaklumkan telah terdengar bunyi letupan yang kuat dan disusuli dengan gegaran yang baharu sahaja berlaku.

” Bilik gerakan IPD Labuan telah  menghubungi semua lokasi sasaran penting di Labuan  namun tiada apa-apa insiden dilaporkan berlaku.

” Elemen-elemen aktif PDRM Labuan juga telah digerakkan untuk membuat pemantauan di sekitar Labuan dan juga kapal-kapal laut di sekitar perairan Labuan namun tiada apa-apa kesan letupan yang ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pihaknya turut menghubungi Bilik Gerakan IPD Sipitang, IPD Beaufort dan IPD Lawas namun tiada maklumat berkaitan dengan kejadian itu.

” Jabatan Meteorologi juga telah dihubungi dan mengesahkan bahawa tiada apa-apa amaran bencana alam dimaklumkan.

” Pihak Polis menasihatkan agar orang ramai tidak berasa panik dan menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menganggu ketenteraman awam,” katanya. – KHAIRUL IDIN – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas