Berita

Penduduk Kelompok Camar takut ditimpa pokok besar

POKOK besar yang tidak diselenggara dibimbangi memberi ancaman kepada penduduk Kelompok Camar.
- Diterbit 21 Disember 2020 4:46 AM MYT

BIMBANG dengan ancaman pokok besar yang menunggu masa untuk tumbang, penduduk
Kelompok Camar, Keramat Wangsa, Setiawangsa Kuala Lumpur menggesa pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera.

Penduduk juga terpaksa hidup dalam ketakutan ekoran kerja mencantas dan menyelenggara pokok hanya dijalankan dua kali sahaja, sejak tiga tahun lalu.

Lebih menggusarkan apabila, kesan kerosakan sudah kelihatan pada bahagian longkang dan jalan tar yang terjadi disebabkan akar pokok yang timbul.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Kelompok Camar, Mohd Nizam Mohamed Raup, pihaknya mendapati tiga pokok besar di kawasan tersebut menjadi ancaman utama kepada penduduk dan harta benda.

“Masalah ini boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Aduan ancaman pokok besar ini pernah dihantar kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cawangan Setiawangsa pada 2018 dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad juga dijemput untuk melihat kawasan,” katanya.

Mohd Nizam memberitahu, peruntukan juga sudah diluluskan melalui surat sokongan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, namun sejak peralihan kuasa tiada sebarang tindakan diambil.

Justeru, ujarnya, diharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kemalangan jiwa sehingga mengakibatkan kematian berlaku.

Dalam pada itu, Mohd Nizam juga memohon kerja pembaikan dilakukan ke atas tiga tiang lampu jalan yang terpadam selain kejadian hakisan di tebing surau.

“Kita harap tembok konkrit dibina bagi mengatasi masalah tanah runtuh yang boleh mengundang bahaya di kawasan itu,” katanya.

Tambahnya, penduduk Kelompok Camar amat berharap tindakan yang sewajarnya boleh diambil bagi menyelesaikan segala permasalahan tersebut. – AFIFAH AFIZAL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas