Berita

Penduduk bimbang kegiatan ‘setan kembar’ di Pulau Ketam

- Diterbit 4 September 2020 4:39 AM MYT

PENDUDUK Pulau Ketam, sebuah perkampungan nelayan, dekat sini, meluahkan kebimbangan apabila kampung mereka dijadikan pusat transit penyeludupan daun ketum sebelum dibawa ke negara jiran.

Seorang nelayan yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Non, 58, berkata beliau bukan hanya bimbang soal keselamatan diri dan keluarga tetapi turut risau dengan masa depan remaja di pulau berkenaan yang bekerja dengan sindiket penyeludupan daun ketum.

“Ada dalam kalangan remaja sanggup berhenti sekolah kerana mendapat gaji yang lumayan daripada tauke ketum.

“Biasanya mereka (remaja) akan mula mengangkut guni-guni berisi daun ketum menggunakan motosikal pada awal pagi dan tengah malam dari jeti haram ke rumah kosong yang menjadi tempat transit sebelum ia diseludup ke negara jiran sama ada menerusi jalan darat atau laut,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pak Non berkata semua penduduk kampung menyuarakan rasa tidak senang apabila terdapat penduduk pulau itu yang menjadi tauke ketum memerah tenaga anak muda untuk memperolehi kekayaan dengan jalan mudah.

“Tauke ketum yang paling besar di pulau ini kami orang kampung gelar dia dengan panggilan ‘setan kembar’, walaupun kami tahu perbuatannya salah dari segi undang-undang, kami tidak boleh berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat dari jauh.

“Saya harap pihak polis dapat mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan masa depan remaja di pulau ini,” katanya.

Turut meluahkan kerisauan, seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 40, berkata ekoran wujudnya kegiatan jenayah itu, beliau berasa takut dan tidak selamat setiap kali suaminya yang merupakan nelayan turun ke laut untuk menangkap ikan.

Bahkan, katanya, beliau pernah berjaga sepanjang malam dan meletakkan parang di sebelah tempat tidur kerana risau perkara buruk menimpa keluarganya.

“Kadang-kadang saya tidak dapat tidur malam apabila mendengar bunyi motosikal penyeludup mengangkut daun ketum dari jeti haram berhampiran, tambahan pula ketika suami tiada di rumah dan saya risau keselamatan anak-anak saya yang masih kecil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata pihaknya akan mengambil tindakan bagi membanteras aktiviti penyeludupan ketum dari semasa ke semasa dan tidak akan membiarkan penyeludup terus bebas melakukan aktiviti tersebut.

“Ada penduduk memberitahu saya bahawa beberapa jeti haram di Pulau Ketam dijadikan tempat pendaratan penyeludupan daun ketum sebelum ia dibawa ke luar atau masuk ke pulau ini,” katanya.

Beliau berkata polis turut mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terbabit dengan aktiviti itu termasuk ‘setan kembar’, dan akan mengambll tindakan dalam masa terdekat.

Bernama sebelum ini melaporkan jumlah rampasan daun ketum di Perlis pada tahun ini mencatatkan peningkatan 60 peratus, iaitu sebanyak 98,250.10 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM3.93 juta dirampas bagi tempoh 1 Jan sehingga 31 Julai. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas