Sekilas

Penduduk Apartment Permai Seri bersyukur dapat lif baharu

|PENGHUNI apartment Permai Seri berasa lega apabila mendapat lif baharu.
- Diterbit 16 Ogos 2021 6:08 AM MYT

PENDUDUK Apartment Permai Seri, Ampang, berasa lega apabila mendapat lif baharu setelah empat tahun tidak berfungsi.

Atas keprihatinan Ahli Parlimen Ampang yang juga Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin telah meluluskan bantuan permohonan lif baharu untuk apartment 13 tingkat itu.

Zuraida meminta pegawainya menyegerakan pemeriksaan teknikal lif baharu ini dan akhirnya diberikan kelulusan penggunaan pada 3 Ogos lalu.

Timbalan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Permai Seri (JMB PS), Vincent Anthony, merakamkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak Zuraida dan mereka yang terlibat.

“Terima kasih sekali lagi atas perkhidmatan cemerlang untuk warga Ampang.

“Justeru, kami berharap dengan adanya lif baharu ini dapat digunakan sebaik mungkin dan memberi keselesaan kepada penduduk Permai Seri,” katanya.

PENGHUNI apartment Permai Seri berasa lega apabila mendapat lif baharu.

Manakala Zuraida pula berkata, kementeriannya
telah memperuntukkan RM456,475 untuk kerja-kerja penggantian satu unit lif dan penyelenggaraan baik pulih di Pangsapuri Permai Seri, Ampang.

“Fasiliti yang baik akan mewujudkan persekitaran kediaman yang baik. Persekitaran yang baik kemudiannya menjamin keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

“Harapan saya, lif baharu ini akan dijaga dan diurus dengan baik oleh penduduk. Semoga aspek pengurusan JMB dan disiplin komuniti dalam menjaga harta benda bersama ditekankan lagi selepas ini,” jelas Zuraida yang mementingkan aspek keselamatan dan keselesaan rakyat.

Terdahulu, penduduk Permai Seri hanya bergantung harap kepada satu lif sahaja dan ini menyukarkan pergerakan penduduk terutamanya golongan warga emas, orang sakit serta anak-anak yang pulang ke sekolah.

Namun, lif tersebut rosak ketika proses penggantian lif baharu dan ini menyebabkan penghuni di 200 unit terpaksa menggunakan tangga selama hampir dua minggu. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas