Berita

Pendatang haram bebas Covid-19 segera dihantar pulang

PROSES penghantaran pulang PATI dilakukan Jabatan Imigresen di KLIA. Gambar hiasan PATI yang dihantar pulang diarah mengikut garis panduan penjarakan sosial.
- Diterbit 26 Mei 2020 10:37 AM MYT

PUTRAJAYA – Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang didapati negatif Covid-19 akan dihantar pulang ke negara asal dengan segera.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diputuskan mesyuarat khas pengurusan PATI pagi tadi yang diketuai beliau bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kerja Raya.

Menurut beliau, langkah ini bersesuaian selepas jumlah PATI yang positif Covid-19 didapati semakin ramai.

“Setakat ini, seramai 230 PATI ditempatkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) kerana positif Covid-19.

“Mesyuarat juga bersetuju keseluruhan PATI di tiga depoh tahanan iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bukit Jalil, Semenyih perlu disaring,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari.

Ismail Sabri menjelaskan, PATI yang didapati negatif selepas saringan atau rawatan akan dihantar pulang termasuk dari depoh PATI di seluruh negara yang lain.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Luar telah diarahkan berunding dengan kedutaan-kedutaan warga asing yang berada di negeri bagi proses penghantaran pulang rakyat mereka.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri menegaskan, semua pegawai dan anggota di tiga depot iaitu KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih turut diarahkan menjalani swab Covid-19.

“Setakat ini, tiada pegawai dan anggota didapati positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Hospital Kusta Sungai Buloh dan wad bersalin lama di Hospital Kuala Lumpur dijadikan hospital dalam merawat PATI Covid-19 selepas MAEPS.

“Ketiga-tiga tempat itu boleh menampung 1,4,30 pesakit dan ia boleh menampung sekiranya berlaku kenaikan mendadak pesakit,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas