Berita

Pendakian tanpa tangki oksigen sasaran T. Ravichandran

RAVI dan Elango mengibarkan Jalur Gemilang ketika berada di puncak Everest. RAVI dan Elango mengibarkan Jalur Gemilang ketika berada di puncak Everest.
- Diterbit 22 Mei 2022 4:00 AM MYT

MISI pendakian Gunung Everest buat kali keempat tanpa menggunakan tong oksigen akan diteruskan pada tahun hadapan,” ujar pendaki solo T. Ravichandran, 57, atau lebih dikenali sebagai Ravi Everest.

Menurutnya dalam satu sidang media khas yang diadakan secara atas talian baru-baru ini, misi tanpa menggunakan tong oksigen yang dirancang tidak dapat diteruskan pada tahun ini kerana ia bukan pendakian solo.

“Pendakian solo dan berpasukan amat berbeza di mana kita perlu mengambil kira soal keselamatan dan kesihatan yang lain juga. Oleh itu, misi tersebut akan saya lakukan pada 1 April 2023 nanti,” ujarnya.

Tambahnya lagi meskipun ini merupakan kali ketiga dirinya menawan puncak dunia itu, namun ia berbeza pada kali ini apabila kegembiraan tersebut dapat dikongsi bersama rakan pasukannya, N Elanghovan, 64.

“Pendakian kali ini agak berbeza kerana ia bukan lagi pendakian solo dan saya dapat berkongsi kegembiraan ketika di puncak bersama Elanghovan, saya dapat melihat, tepuk bahu dia dan menitiskan air mata kegembiraan bersama ketika berada di puncak.

“Perasaan tersebut amat berbeza daripada pendakian solo saya sebelum ini,” jelasnya yang berpuas hati dengan matlamat yang telah dicapai pada pendakian kali ini. Dalam pada itu, rakan pasukannya yang lebih dikenali sebagai Elango menyasarkan G7 (Tujuh Puncak, Tujuh Benua) sebagai misi seterusnya pada masa hadapan.

“G7 merujuk kepada tujuh gunung tertinggi di dunia di tujuh benua yang menjadi matlamat besar para pendaki untuk menawannya termasuk Everest (8,850 meter), Aconcagua di Argentina (6,961 meter), Denali di Alaska (6,194 meter), Kilimanjaro di Afrika (5,895 meter) dan Elbrus di Rusia (5,642 meter),” ujarnya.

ANTARA penaja yang terlibat dalam misi menawan Everest baru-baru ini.

Berkongsi berkenaan persiapan yang dilakukan, Elango berkata meskipun berdepan limitasi pergerakan akibat COVID-19 ketika sesi latihan pendakian, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan misi yang tertangguh sejak 2020.

“Saya mula-mula datang ke Everest Base Camp (EBC) pada tahun 2014, ketika itu ia menjadi satu inspirasi kepada saya untuk mendaki Gunung Everest.

“Pada tahun 2019, saya dan Ravi Everest ke Nepal dan mendaki Island Peak. Pada masa itu, banyak yang saya belajar mengenai ilmu pendakian daripada Ravi Everest ketika ekspedisi pendakian,” katanya yang berada di EBC menerusi platform Google Meet.

Elango berkata meskipun sesi latihan di dalam negara tidak seperti pendakian Alpine namun ia tetap memberi persediaan yang secukupnya kepada mereka dari segi stamina dan fizikal untuk ekspedisi pendakian Gunung Everest pada kali ini.

“Tidak perlu latihan mendaki gunung setinggi 8,000 meter, cukup sekadar penetapan minda, ilmu dan bimbingan yang baik sudah mampu mendorong seseorang itu menawan puncak Everest,” katanya.

Pasukan tersebut memulakan pendakian pada 2 Mei menuju ke khemah satu, khemah dua serta khemah tiga dan berhenti untuk berehat pada 5 Mei sebelum meneruskan pendakian dari 9 hingga 11 Mei sekali gus tiba di puncak pada 12 Mei, 9.17 pagi.

Ahli Keluarga Malaysia-Everest Expedition 2022 itu setakat ini berjaya menawan puncak Island Peak (6,189 meter), ECB (5,360 meter), Annapurna Base Camp (4,130 meter) dan Gunung Kalapathar (5,643 meter) yang semuanya di Nepal serta Gunung Kilimanjaro (5,895 meter) di Tanzania iaitu puncak tertinggi di benua Afrika dan Gunung Fuji (3,776 meter) di Jepun. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas