Berita

Pencemaran Sungai Selangor: Empat individu direman tujuh hari

- Diterbit 11 November 2020 4:41 AM MYT

EMPAT termasuk dua pengarah syarikat pembinaan jalan raya ditahan reman tujuh hari mulai hari ini hingga 17 Nov berhubung kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor, sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang sejak petang semalam.

Perintah reman ke atas kesemua suspek berumur antara 33 dan 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Hafizah Rajuni di Mahkamah Majistret Selayang di sini, selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka selama tujuh hari.

Mereka yang ditahan ialah seorang wanita berusia 40 tahun, seorang lelaki berusia 43 tahun yang merupakan pengarah syarikat itu, dan dua lagi lelaki, salah daripadanya adalah warga Bangladesh.

Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek dibawa masuk ke mahkamah untuk prosiding reman pada pukul 10.25 pagi dan selesai pada pukul 10.45 pagi. Suspek wanita yang memakai baju lokap polis berwarna oren dan tiga lelaki berpakaian biasa tiba di Kompleks Mahkamah Selayang pada pukul 8.30 pagi.

Dalam satu kenyataan pagi ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata kesemua suspek itu ditahan di sekitar Lembah Klang bermula tengah malam hingga awal pagi tadi.

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang pula dilaporkan berkata pencemaran itu dipercayai berpunca dari kawasan Industri Kecil dan Sederhana di Taman Velox, Rawang. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas