Berita

Pencegahan denggi perlu diteruskan, libatkan komuniti

SEBAHAGIAN penduduk Perumahan Awam Fasa 2, Presint
- Diterbit 6 September 2020 5:46 AM MYT

PROGRAM Gotong Royong Mega Cegah Denggi yang dilaksana oleh Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 2, Putrajaya merupakan langkah proaktif bagi mencegah penularan virus bawaan nyamuk Aedes daripada menggugat kesihatan penduduk.

Naib Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Azizi Ahmad Termizi berkata, usaha pencegahan perlu dilakukan berterusan melibatkan komuniti, persatuan penduduk dan pihak Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) bagi menghapuskan denggi dengan menyeluruh.

“Setiap penduduk perlu ada kesedaran mengenai denggi dan hapuskan setiap tempat takungan air yang mengundang pembiakan nyamuk di rumah masing-masing.

“PPj pada setiap pertemuan dengan MPP, akan minta mereka sediakan dan bentangkan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) dan senarai program gotong royong dalam unit SKT sebagai usaha mencegah denggi,” katanya pada program Gotong Royong Mega Cegah Denggi, di Perumahan Awam Fasa 2, Presint 9, Putrajaya pada Sabtu.

Pengerusi MPP Sub Zon 2, Mohd Khairi Md Jani berkata, program dianjur akan diperluaskan melalui kerjasama pelbagai pihak untuk mencegah kes denggi daripada terus meningkat.

“Berdasarkan statistik 12 kes denggi dicatat pada gelombang pertama jangkitan dan disusuli enam kes jangkitan baharu, menunjukkan perlu langkah pencegahan awal bagi mengelakkan lebih ramai penduduk menjadi mangsa,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas