Berita

Penasihat undang-undang dicekup SPRM

- Diterbit 2 Jun 2020 6:10 AM MYT

KUALA LUMPUR – Seramai tiga orang pegawai undang-undang Negeri Pulau Pinang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, berhubung kes suapan rasuah.

Kesemua mereka didapati meminta wang sebanyak RM500,000 daripada salah seorang awam sebagai balasan bagi memastikan kes komersil yang dilaporkan individu berkenaan boleh dituduh di mahkamah.

Difahamkan, kesemua suspek juga didapati telah menerima wang sebanyak RM100,000 daripada orang awam tersebut.

Berdasarkan maklumat, kesemua tertuduh ditahan di dalam beberapa serbuan di lokasi sekitar Pulau Pinang dan Kedah, semalam.

Suspek pertama berusia 42 tahun ditahan di sebuah hotel di Pulau Pinang pada pukul 12.15 tengah hari, semalam.

Manakala suspek kedua berusia 29 tahun ditahan di pejabat SPRM Kedah, di Alor Setar pada pukul 10.15 malam tadi, diikuti suspek ketiga berusia 52 tahun yang ditahan pada pukul 10.38 malam.

Difahamkan, salah seorang daripada suspek yang ditahan berpangkat Ketua Jabatan di negeri berkenaan.

Kesemua mereka dibawa ke Mahkamah Alor Setar, hari ini untuk permohonan perintah reman.

Berdasarkan maklumat awal, SPRM telah membongkar pejabat dan rumah tertuduh dan menyita sejumlah wang tunai.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi pihak media mengesahkan tangkapan kesemua suspek.

Beliau turut meminta dan menasihatkan  orang ramai yang pernah menjadi mangsa sindiket atau komplot berkenaan tampil membuat laporan kepada SPRM Kedah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas