Berita

Penagihan dadah kekal musuh nombor satu negara

GOLONGAN remaja antara yang terjebak dalam penagihan dadah. - Gambar hiasan
- Diterbit 21 Februari 2020 1:11 PM MYT

KUALA LUMPUR – Seramai 128,261 penagih dikesan di negara ini dalam tempoh enam tahun sejak 2014.

Daripada jumlah tersebut didapati seramai 103,187 penagih adalah di kalangan berbangsa Melayu yang beragama Islam.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) telah mengesahkan bahawa penyalahgunaan dadah masih lagi menjadi musuh nombor satu negara.

“Isu penyalahgunaan dadah menjadi salah satu punca utama berlakunya jenayah dan maksiat serta menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara,” demikian dinyatakan dalam khutbah Solat Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini.

Menerusi teks khutbah bertajuk Kemakmuran dan Kesejahteraan Bersama yang dibacakan di seluruh masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan menyatakan, dua faktor utama berlaku penagihan dadah adalah kurangkan didikan dan pendedahan khususnya oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka serta pengaruh rakan.

“Antara jalan penyelesaiannya adalah melalui pendidikan khususnya seawal usia kanak-kanak di samping mewujudkan kekeluargaan yang harmoni.

“Langkah juga harus dilakukan menerusi penguatkuasaan yang berterusan daripada pihak terlibat seperti Agensi Antidadah Kebangsaan dan Polis
Diraja Malaysia dengan kerjasama maklumat daripada masyarakat,” kata khutbah itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas