Berita

PEMULIH beri ruang penggiat seni bernafas

PRESIDEN Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PPTM) Datuk Jurey Latiff Rosli berkata bantuan ini mampu meringankan beban penggiat seni khususnya kru produksi yang kehilangan kerja, selepas sektor itu masih lagi tidak dibenarkan beroperasi.
- Diterbit 5 Julai 2021 10:30 AM MYT

PERUNTUKAN RM100 juta menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk membantu penggiat seni dan kreatif yang terjejas akibat COVID-19 memberi kelegaan kepada mereka yang terkesan.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PPTM) Datuk Jurey Latiff Rosli berkata bantuan itu mampu meringankan beban penggiat seni khususnya kru produksi yang kehilangan kerja, selepas sektor itu masih lagi tidak dibenarkan beroperasi.

Katanya, bantuan itu memperlihatkan kerajaan tidak meminggirkan ­keperluan ­petugas industri itu yang ­amat terkesan sejak pandemik ­tersebut melanda negara tahun lepas.

“Kami amat berterima kasih kepada ­kerajaan ­dengan ­bantuan yang diumumkan semalam, malah sebelum ini ­juga, banyak bantuan yang telah disalurkan sejak tahun lepas.

“Namun, kami harapkan ­pengagihan bantuan kali ini, dibuat secara lebih menyeluruh kepada semua penggiat seni yang terjejas tidak mengira mereka bekerja dengan syarikat atau secara bebas,” katanya.

Menerusi PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ­pada Isnin, seramai 8,000 penggiat seni, karyawan, artis, ­pemuzik, penulis, pelakon, penggiat ­teater akan menikmati kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan itu.

Peruntukan itu ­meliputi insentif penghasilan ­karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman ­perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta perolehan produk bagi tujuan ­produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu.

Tambah Jurey Latiff, beliau berharap semua agensi serta syarikat produksi yang ­terlibat dapat memastikan manfaat bantuan itu dinikmati setiap individu yang memerlukan.

Walaupun terdapat ­bantuan yang ­disediakan kerajaan, beliau bagaimanapun berharap kerajaan menerima rayuan dan cadangan pihak industri agar aktiviti penggambaran dibenarkan beroperasi ­dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan ­dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bantuan itu memang satu kelegaan, tetapi kami memerlukan kerja…­bantuan sahaja tidak cukup, kita perlukan kerja untuk kelangsungan hidup dan merancakkan kembali ekonomi sektor ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas