Berita

Pemimpin UMNO, Pas terima Draf Perlembagaan MN

- Diterbit 5 Disember 2020 5:17 AM MYT

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, draf Perlembagaan Muafakat Nasional (MN) sudah siap dan salinannya telah diedar kepada pemimpin UMNO dan PAS.

Katanya, beliau kini sedang menunggu arahan selanjutnya dan berkemungkinan draf itu hendak dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atau jawatankuasa PAS dahulu.

“Kita tidak boleh buat secara suka-suka, perlembagaan itu ada implikasinya, misalnya MN ditadbir oleh siapa. Jika PN ada pengerusi dan Hadi (Presiden Pas) menjadi Timbalan Pengerusi.

“Manakala dalam MN, kita kena putuskan, mungkin kita hendak pakai konsep majlis syura, tanpa ada jawatan pengerusi misalnya.

“Kemudiannya lambang, saya sudah minta penglibatan dari masyarakat untuk mencadangkan apa lambang yang sesuai untuk digunakan MN,” katanya kepada pemberita selepas program MYFood@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersama MN berkata, untuk pendaftaran MN, pihaknya sudah menyelesaikannya di peringkat perlembagaan dan menunggu pada mesyuarat akan datang.

“Mesyuarat itu untuk kita bincang lebih lanjut, dan ini telah diputuskan pada mesyuarat lepas, jadi itu saya boleh sahkan.

“Yang pastinya, Tok Mat Hassan (Datuk Seri Mohamad Hasan dan Takiyuddin (Datuk Takiyuddin Hassan) sudah ada salinan, dan mereka mungkin hendak bagi pandangan pada mesyuarat akan datang dan ia perlu dibuat bersama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas